Penjawat awam boleh kerja dari rumah dua hari seminggu mulai Ogos ini

Bermula 1 Ogos ini, penjawat awam dibenarkan bekerja dari rumah sehingga dua hari seminggu apabila kerajaan memperkenalkan Hari Bekerja Hibrid (HBH) sebagai norma baharu dalam perkhidmatan awam.

Keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri hari ini sebagai sebahagian daripada usaha mereformasikan kaedah kerja sektor awam agar lebih fleksibel tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), di bawah pelaksanaan baharu itu, penjawat awam boleh bekerja dua hari di rumah atau di lokasi alternatif yang diluluskan oleh ketua jabatan, manakala tiga hari lagi perlu hadir ke pejabat.

Bagaimanapun, pelaksanaannya tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat yang akan ditetapkan.

Bagi negeri yang menjadikan Ahad sebagai hari kelepasan mingguan, hari wajib hadir ke pejabat ialah pada Isnin dan Jumaat.

Sementara itu, bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu yang bercuti pada hari Jumaat, kehadiran wajib ditetapkan pada Ahad dan Khamis.

JPA berkata, pelaksanaan HBH tidak akan menjejaskan perkhidmatan penting kerajaan dan fungsi yang memerlukan kehadiran fizikal.

“Perkhidmatan kaunter serta fungsi yang memerlukan kehadiran fizikal akan terus beroperasi seperti biasa. Ini termasuk sektor keselamatan, pertahanan, pendidikan, kesihatan dan mahkamah,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPA, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda reformasi berterusan kerajaan untuk memodenkan perkhidmatan awam melalui amalan kerja yang lebih berorientasikan hasil dan memanfaatkan teknologi digital.

Sistem pemantauan juga akan diperkenalkan bagi memastikan aspek integriti, prestasi dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat kekal berada pada tahap terbaik.

JPA turut memaklumkan bahawa amalan bekerja secara hibrid telah dilaksanakan di beberapa negara lain seperti Singapura, Australia, Finland dan Sweden.

Pelaksanaan HBH juga akan menggantikan pengaturan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang dilaksanakan sebelum ini susulan konflik Asia Barat.

Garis panduan dan syarat pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid dijangka diumumkan oleh JPA dalam masa terdekat.

BACA JUGA Esok, Akauntan muda 29 tahun bakal angkat sumpah Undang Sungei Ujong