Esok, Akauntan muda 29 tahun bakal angkat sumpah Undang Sungei Ujong

Seorang akauntan berusia 29 tahun bakal mencipta sejarah tersendiri dalam institusi Adat Perpatih apabila dipilih sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang baharu, sekali gus mencerminkan kesinambungan tradisi lama dengan generasi muda.

Muhammad Faris Johari akan dimasyhurkan sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 dalam Istiadat Menghadap Menjunjung Duli Bagi Menyempurnakan (Menzahirkan) Kejadian Undang yang dijadual berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, esok.

Menurut laporan BuletinTV3, Istiadat itu akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan berlangsung dalam dua sesi — sebelah pagi bagi Undang Luak Sungei Ujong, manakala sebelah petang bagi Undang Luak Rembau Ke-22.

Hari ini, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz menerima menghadap rombongan Telaga Undang, Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu, Waris Klana Hulu serta Waris Negeri Sungei Ujong di Istana Seri Menanti.

Rombongan itu diketuai Waris Negeri Sungei Ujong, Datuk Sinda Maharaja Razlan Hamid yang mempersembahkan Muhammad Faris sebagai calon Undang mengikut aturan adat yang ditetapkan.

Menyampaikan titah Tuanku Muhriz, Tunku Ali Redhauddin bertitah bahawa baginda berkenan berangkat menyempurnakan istiadat tersebut.

“Saya mendengar tujuan menghadap dan sembah maklum daripada Waris Negeri Sungei Ujong bahawa pemilihan penyandang Pesaka Undang Luak Sungei Ujong dilaksanakan mengikut adat terpakai serta diamalkan dalam Luak Sungei Ujong.

“Saya ingin sampaikan titah perkenan Ayahanda saya, Tuanku Muhriz yang berkenan mengadakan Istiadat Menghadap Menjunjung Duli Bagi Menyempurnakan Kejadian Undang Luak Sungei Ujong pada pagi Sabtu ini,” titah baginda.

Razlan berkata, pemilihan Muhammad Faris dibuat menerusi Istiadat Kerapatan Buapak yang mencapai kata sepakat dalam kalangan waris.

“Pada majlis menghadap Tunku Besar Seri Menanti hari ini, kita sudah menzahirkan bahawa Muhammad Faris Johari sebagai Dato’ Klana Petra yang baharu,” katanya.

Menurutnya, pelantikan itu dibuat secara konsensus oleh Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu serta Waris-Waris Klana Hulu mengikut amalan adat turun-temurun.

Waris Nan Tua Klana Hulu, Orang Kaya Dato’ Laksamana Shaharumzaman Dato’ Lela Bangsa Abdul Malek berkata, proses pemilihan dijalankan berlandaskan undang-undang teradat yang menitikberatkan prinsip berkeadilan, berundang, bersalasilah dan berteromba.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Hassan Ab Hamid, 67, turut bakal dimasyhurkan sebagai Undang Luak Rembau Ke-22 selepas dipersembahkan oleh Dato-Dato Lembaga Adat Luak Rembau kepada Tunku Besar Seri Menanti semalam.

Sebelum ini, Dewan Keadilan dan Undang menerima pemberhentian Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang Pesaka Undang Luak Sungei Ujong ke-10.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata keputusan itu dibuat menerusi sidang khas yang dipengerusikan Tuanku Muhriz di Istana Besar Seri Menanti.

BACA JUGA PMX jawab Onn Hafiz: Arahan larang  masuk Felda tak berasas