KPKT bukan sekadar bagi rumah, tapi ajar rakyat jana duit daripada sisa buangan

Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 diteruskan di Johor dengan memberi tumpuan kepada agenda kelestarian komuniti dan pemilikan rumah rakyat menerusi lawatan kerja Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu ke Labis dan Felda Chemplak.

Lawatan itu menyaksikan pelbagai pengisian bersama komuniti setempat, termasuk usaha meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan sisa pepejal, amalan kitar semula dan konsep ekonomi kitaran.

Sebagai sebahagian daripada program tersebut, Aiman Athirah menghadiri Program Agro MADANI anjuran FAMA di Dataran Niaga Taman Tenang, Labis.

Menerusi program itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) turut melaksanakan pelbagai aktiviti bagi memupuk budaya pengurusan sisa yang lebih lestari dalam kalangan masyarakat.

Aiman Athirah berkata pencapaian Program Trash to Cash di Johor membuktikan bahawa sisa buangan mempunyai nilai ekonomi dan boleh menjana pendapatan kepada rakyat.

“Pencapaian Program Trash to Cash di Johor membuktikan bahawa sisa bukan lagi sekadar bahan buangan, sebaliknya mempunyai nilai ekonomi.

“Apabila budaya kitar semula dibudayakan, rakyat bukan sahaja menikmati persekitaran yang lebih bersih, malah berpeluang menjana pendapatan secara langsung,” katanya.

Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 kemudiannya diteruskan dengan Majlis Penyerahan Kunci Rumah oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Felda Chemplak yang menyaksikan lima keluarga menerima kediaman baharu masing-masing.

Menurut beliau, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memperluas akses rakyat kepada perumahan yang selesa, selamat dan berkualiti.

Dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan Bakul Rahmah kepada para penerima sebagai simbol keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan yang memerlukan.

“Kerajaan MADANI komited memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan negara.

“KPKT akan terus memperluaskan akses kepada perumahan yang selesa, selamat dan berkualiti di samping memperkukuh kesejahteraan komuniti secara menyeluruh,” katanya.

Berdasarkan rekod KPKT, sebanyak 20,750 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) berjaya disiapkan di seluruh negara bagi tempoh 2023 hingga 2026, manakala 1,422 unit lagi kini berada dalam fasa pembinaan.

Bagi Johor pula, sebanyak 1,645 unit rumah berjaya disiapkan dengan 165 unit lagi sedang dibina.

Aiman Athirah berkata, Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 menjadi platform penting bagi kementerian untuk turun padang menyantuni rakyat dan menilai sendiri keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan di peringkat akar umbi.

Katanya, KPKT akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan kementerian, kerajaan negeri, agensi pelaksana dan rakan kerjasama bagi memastikan agenda pembangunan komuniti, kelestarian alam sekitar serta penyediaan perumahan berkualiti dapat dilaksanakan secara inklusif selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

BACA JUGA RENCANA | PRN Johor 2026: Politik Melayu di persimpangan baharu