MOF tegaskan perjalanan rasmi ke luar negara dihadkan untuk urusan berimpak tinggi
Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan tidak bermaksud semua perbelanjaan dan perjalanan rasmi dihentikan.
Sebaliknya menurut MOF, ia hanya dihadkan kepada komitmen penting yang memberi impak strategik kepada negara.
Penjelasan itu dibuat bagi menjawab laporan portal CodeBlue bertajuk “Ministers, Officials Go Around the World on 50 Trips in 50 Days”, yang mempersoalkan lawatan rasmi ke luar negara ketika langkah penjimatan perbelanjaan sedang dilaksanakan.
MOF berkata, langkah penjimatan yang diperkenalkan kerajaan adalah langkah pengurusan fiskal yang bersasar bagi membantu menampung sebahagian daripada peningkatan mendadak perbelanjaan subsidi akibat krisis Asia Barat yang telah melonjakkan harga minyak dunia.
Sejak tercetusnya konflik tersebut, harga minyak mentah dunia meningkat dengan ketara.
Justeru bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga bahan api dan kos sara hidup, kerajaan memilih untuk terus menyerap beban subsidi yang jauh lebih tinggi supaya rakyat tidak perlu menanggung kenaikan tersebut.
“Bagi membantu membiayai sebahagian daripada kos subsidi tambahan ini, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengeluarkan garis panduan penjimatan perbelanjaan Kerajaan.
“Antara langkah yang dilaksanakan ialah mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara hanya kepada komitmen yang telah dijadualkan, mesyuarat yang diwajibkan serta urusan yang benar-benar penting dan memberi impak strategik kepada negara.
“Seperti yang ditegaskan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, langkah penjimatan ini dilaksanakan tanpa menjejaskan sebarang perkhidmatan kritikal kepada rakyat, termasuk sektor kesihatan dan pendidikan,” katanya dalam kenyataan.
BACA JUGA Nahas dua maut di Lenggong, siasatan awal kenderaan polis hilang kawalan ketika memotong