‘Dekati rakyat dengan hati yang ikhlas’, pesan PMX kepada calon PH Johor

Calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diseru supaya mendekati rakyat dengan penuh keikhlasan dan menjadikan amanah rakyat sebagai keutamaan.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perjuangan politik tidak seharusnya tertumpu kepada usaha meraih undi semata-mata, sebaliknya perlu didasari tekad untuk membela nasib rakyat.

“Selamat berkempen kepada seluruh calon Pakatan Harapan Johor. Dekatilah rakyat dengan hati yang ikhlas, bukan sekadar untuk meraih undi, tetapi untuk menggalas amanah mereka,” katanya.

Beliau turut mengingatkan jentera dan calon PH agar menampilkan politik yang matang, beradab dan mengutamakan perpaduan ketika tempoh berkempen selama 14 hari bermula.

“Kerja kuat, santuni semua dan buktikan bahawa politik yang beradab akan sentiasa mengatasi politik kebencian,” katanya.

Anwar berkata beliau yakin rakyat Johor mampu membuat pilihan terbaik sekiranya para pemimpin terus menunjukkan keikhlasan dalam membela kepentingan mereka.

“Insya-Allah, apabila kita ikhlas membela nasib rakyat Johor, mereka akan membuat pilihan yang tepat demi masa depan negeri tercinta,” katanya.

Beliau turut memetik ayat 159 Surah Ali ‘Imran sebagai peringatan kepada calon dan penyokong PH supaya sentiasa bertawakal selepas berusaha.

“Kemudian apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

Beliau mengakhiri hantaran itu dengan slogan kempen PH bagi PRN Johor, “Johor Ke Depan. Undi HARAPAN.”

PRN Johor ke-16 menyaksikan PH bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan gabungan itu meletakkan sasaran untuk membentuk kerajaan negeri dan menawarkan pentadbiran yang lebih stabil serta berorientasikan kebajikan rakyat.

Hari penamaan calon yang berlangsung hari ini membuka secara rasmi medan kempen selama dua minggu sebelum pengundian pada 11 Julai depan.

BACA JUGA Watikah untuk Bersatu jadi ‘calon’ selepas rundingan dengan BN gagal, kata pegawai Muhyiddin