Ibu tunggal, golongan miskin bakal dapat bantuan peguam syarie percuma

Golongan miskin, ibu tunggal dan mereka yang tidak mampu mendapatkan khidmat guaman di Mahkamah Syariah bakal menikmati akses lebih luas kepada bantuan perundangan selepas kerajaan mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi Program Bantuan Guaman Syarie.

Peruntukan itu disalurkan kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia sebagai usaha memperluaskan akses kepada keadilan, khususnya kepada golongan yang sering berdepan kekangan kewangan untuk mendapatkan representasi guaman.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun negara mempunyai sistem perundangan, mahkamah dan pengamal undang-undang yang baik, isu akses kepada keadilan masih menjadi cabaran besar.

“Kita ada perundangan yang baik, mahkamah yang baik, peguam yang baik dan hakim yang baik, tetapi masalah akses itu belum tentu.

“Selalunya dalam sistem perundangan, orang yang berkemampuan mendapat peguam terbaik, tetapi orang paling miskin kadang-kadang tidak ada akses,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata, bantuan guaman syarie perlu diperkasakan bagi memastikan setiap rakyat, tanpa mengira latar belakang ekonomi, berpeluang mendapatkan pembelaan sewajarnya di Mahkamah Syariah.

Dalam perkembangan sama, Anwar menegaskan bahawa usaha memperkasa institusi Mahkamah Syariah, termasuk cadangan penambahbaikan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, tidak pernah bertujuan menjejaskan hak penganut agama lain.

“Kita tidak sama sekali mahu melanggar hak bukan Islam. Apa yang kita hendak tegakkan ialah keadilan dan tidak menafikan hak bukan Islam dalam urusan agama mereka.

“Mahkamah sivil tidak ada hak untuk mengganggu urusan Mahkamah Syariah mengenai hukum Islam dan masyarakat Islam. Bagi saya, itu sangat adil,” katanya.

Menurut beliau, sejak pindaan Perkara 121(1A) diperkenalkan pada penghujung 1980-an, matlamatnya adalah untuk memperkukuh bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam urusan berkaitan umat Islam tanpa mengganggu kebebasan agama masyarakat bukan Islam.

Anwar turut menolak dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan mengabaikan agenda memperkasa institusi Islam.

Katanya, sepanjang lebih tiga tahun menerajui pentadbiran negara, belum ada sebarang cadangan berkaitan penambahan peruntukan atau pengukuhan kedudukan Mahkamah Syariah yang dibantah oleh mana-mana anggota Jemaah Menteri, termasuk menteri bukan Islam.

“Sepanjang lebih tiga tahun saya menjadi perdana menteri, belum ada satu pun cadangan berkaitan penambahan peruntukan atau kedudukan Mahkamah Syariah yang dibantah mana-mana menteri, termasuk menteri bukan Melayu,” katanya.

Bagi terus memperkukuh institusi kehakiman syariah, beliau turut mencadangkan satu sesi perbincangan khas membabitkan peguam negara, ketua hakim negara, ketua hakim Mahkamah Syariah dan wakil Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Menurutnya, perbincangan itu penting bagi membolehkan kerajaan meneliti secara menyeluruh cadangan daripada pengamal undang-undang syariah dalam usaha meningkatkan keupayaan serta martabat Mahkamah Syariah.

“Pandangan yang dirasakan perlu dan harus diberi perhatian, saya akan beri keutamaan,” katanya.

BACA JUGA Kemenangan PH di Johor Penting Perkukuh Laluan Anwar Ke Penggal Kedua – Suhaizan