PMX mahu Malaysia jadi kuasa dron dan AI
Malaysia perlu bergerak lebih pantas dalam membangunkan industri dron dan kecerdasan buatan (AI) agar tidak terus ketinggalan dalam persaingan teknologi global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, industri Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV) atau dron kini muncul sebagai sektor strategik baharu yang mampu memacu inovasi, meningkatkan produktiviti serta menjana pertumbuhan ekonomi negara.
“Jika Malaysia ingin menjadi negara yang lebih berjaya dari segi ekonomi, kita mesti pantas membangunkan teknologi dan bidang baharu.
“Dron berkait dengan teknologi digital dan AI, dan kita perlu membina ekosistem yang sesuai dan wajar untuknya,” katanya ketika merasmikan penutupan MyDrone Expo 2026 (MDX2026) di ibu negara, hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata industri dron bukan lagi sekadar teknologi masa depan, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada ekonomi baharu yang berkembang pesat di seluruh dunia.
Beliau berkata pasaran UAV global diunjurkan mencecah nilai lebih AS$55 bilion menjelang tahun 2030, manakala ekonomi ruang udara bersepadu kini menjadi pemangkin pelaburan baharu yang semakin penting.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak termasuk penggubal dasar, institusi penyelidikan dan agensi berkaitan memberikan sokongan penuh kepada pembangunan industri berkenaan.
“Dasarnya jelas. Dron dan industri berkaitan diberi sokongan penuh, bukan sahaja untuk industri tentera udara dan pertahanan tetapi juga untuk aktiviti awam seperti perladangan bagi meningkatkan produktiviti,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan komited memperkukuh rangka kerja kawal selia, memperluaskan pembiayaan penyelidikan serta mempercepat proses pengujian dan pensijilan bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam sektor teknologi baharu itu.
Beliau turut menekankan keperluan membina ekosistem bakat yang mampan melalui kerjasama lebih erat antara sektor swasta, universiti dan institusi penyelidikan kerajaan.
Katanya, pembangunan modal insan dalam bidang AI dan teknologi fizik kuantum perlu diberi keutamaan bagi memastikan negara mempunyai tenaga mahir yang mampu menerajui industri masa depan.
Ekspo MyDrone Expo 2026 yang berlangsung selama tiga hari itu dianjurkan bersama oleh World UAV Federation (WUAVF) Cawangan Malaysia dan Persatuan Pembangunan UAV Malaysia (MUDA).
Penganjuran kali ini menghimpunkan lebih 100 reruai pameran serta menarik ribuan pengunjung dan pemain industri dari 46 negara, sekali gus mencerminkan potensi besar Malaysia untuk muncul sebagai hab teknologi dron di rantau ini.
Dengan perlumbaan teknologi global yang semakin sengit, mesej Perdana Menteri jelas – Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya perlu menjadi pencipta dan peneraju dalam ekonomi digital dan industri dron masa depan.
BACA JUGA Kemenangan PH di Johor Penting Perkukuh Laluan Anwar Ke Penggal Kedua – Suhaizan