RENCANA | Persepsi Muafakat 23 kerusi: Mengapa PH tidak perlu gusar?

Edy Noor Reduan

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, satu persepsi mula berlegar dalam media sosial dan kumpulan WhatsApp politik – kononnya terdapat pakatan tersirat antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) apabila kedua-dua gabungan itu tidak bertembung di 23 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Persepsi itu menjadi semakin hangat apabila muncul laporan yang memberi gambaran bahawa tindakan tidak bertanding di 23 kerusi tersebut merupakan satu strategi untuk memberi kelebihan kepada BN.

Namun, jika diteliti dengan lebih mendalam, angka itu tidak seharusnya mencetuskan kebimbangan, apatah lagi kepada Pakatan Harapan (PH).

Hakikatnya, BN dan PN tetap bertembung di 33 kerusi DUN, iaitu majoriti kerusi yang dipertandingkan. Jumlah itu jauh lebih besar berbanding 23 kerusi yang menjadi bahan spekulasi.

Malah, sekiranya BN memenangi kesemua 23 kerusi yang tidak ditandingi PN sekali pun, jumlah itu masih belum mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian.

Daripada 23 kerusi yang tidak ditandingi PN itu, sebanyak 13 kerusi merupakan kawasan yang kini disandang BN dan secara tradisinya dianggap kubu kuat parti tersebut.

Baki 10 kerusi pula merupakan kawasan yang dikuasai DAP dan dilihat sukar ditembusi lawan berdasarkan rekod pilihan raya lalu.

Dalam erti kata lain, keputusan PN untuk tidak bertanding di kerusi-kerusi tersebut lebih bersifat pertimbangan realiti politik dan pengagihan sumber, bukannya petunjuk wujudnya kerjasama sulit atau kebangkitan semula Muafakat Nasional.

Malah, naratif bahawa BN dan PN sedang membina semula persefahaman politik dilihat tidak selari dengan perkembangan semasa kedua-dua gabungan itu.

Hakikatnya, hubungan dalam PN sendiri masih dibayangi pelbagai perbezaan dan ketegangan.

Pas sebelum ini dilihat cenderung menghidupkan semula gagasan Muafakat Nasional bersama Umno, namun usaha itu tidak menjadi kenyataan. Pada akhirnya, Pas kembali bergandingan dengan Bersatu di bawah panji PN untuk menghadapi PRN Johor.

Lebih menarik, ketika pengumuman calon BN dibuat, tidak ada seorang pun calon daripada Pas atau Parti Wawasan yang diberikan watikah untuk bertanding atas tiket BN.

Perkembangan itu menunjukkan bahawa andaian mengenai kerjasama tersirat antara BN dan PN masih jauh daripada realiti politik sebenar.

PH tampil paling stabil

Jika dibandingkan dengan dua blok pesaingnya, PH dilihat memasuki gelanggang PRN Johor dalam keadaan paling tersusun dan stabil.

PH lebih awal memuktamadkan pembahagian kerusi serta pengumuman calon, sekali gus memberikan gambaran bahawa gabungan itu mempunyai kesepakatan dan hala tuju yang jelas.

Sebaliknya, BN berdepan pelbagai persoalan apabila proses pengumuman calonnya beberapa kali ditangguhkan dan dibuat tanpa kehadiran sebahagian kepimpinan tertinggi parti.

PN pula masih bergelut dengan persepsi bahawa gabungan itu belum benar-benar pulih daripada pergeseran dalaman, walaupun berjaya tampil bersama untuk menghadapi pilihan raya kali ini.

Mengapa PH perlu risau?

Persoalan sebenar bukanlah sama ada BN dan PN bermuafakat di 23 kerusi.

Sebaliknya, persoalan yang lebih besar ialah sama ada gabungan yang masih dibayangi pelbagai perbezaan dan ketidaktentuan itu mampu menawarkan sebuah kerajaan negeri yang stabil sekiranya diberi mandat.

Dalam politik, persepsi sememangnya penting. Namun, realiti angka dan fakta di lapangan sering kali memberikan gambaran yang berbeza.

Maka, dengan BN dan PN bertembung di 33 kerusi serta masing-masing berdepan cabaran tersendiri, persoalan yang tinggal hanyalah satu mengapa Pakatan Harapan perlu gusar?

BACA JUGA Pulau Pinang ‘raja eksport’, dagangan Malaysia cecah RM327.6 bilion