Onn cakap tak serupa bikin, sembang pasal adab tapi pernah maki ‘DAPigs, lahabau’
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali menyifatkan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai cakap tak serupa bikin susulan keengganan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu untuk berdebat secara terbuka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Sheikh Umar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berkata, beliau menyambut baik kenyataan Onn Hafiz yang menyeru masyarakat Johor supaya beradab.
Namun, jelas beliau, adab sebenarnya bukan sekadar nilai masyarakat Johor, malah merupakan nilai sejagat yang harus dijunjung oleh setiap insan tanpa mengira bangsa, agama mahupun tempat.
Dalam masa sama, Sheikh Umar mengingatkan Onn bahawa perdebatan secara terbuka bukanlah sesuatu yang tidak beradab.
Sebaliknya, kata Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP berkenaan, ia merupakan amalan yang sihat dalam sebuah negara demokratik.
Tegasnya, perbezaan pandangan harus diraikan melalui hujah, fakta dan rasa hormat, bukannya dimusuhi.
Beliau menambah Islam tidak melarang perdebatan seperti terkandung dalam ayat 125 dalam Surah An-Nahl yang bermaksud, “Dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik”.
“Yang dituntut ialah adab, akhlak dan hujah yang baik. Maka, tidak wajar pelawaan untuk berdebat disamakan dengan sikap tidak beradab,” ujarnya menerusi kenyataan hari ini.
Tidak harmoni
Semalam, Onn yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada PRN bulan depan berkata, debat terbuka antara calon pada bukan pendekatan yang sesuai kerana dikhuatiri mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kempen.
Onn berkata, budaya politik di Johor selama ini lebih mengutamakan adab, keharmonian dan perbahasan secara tertib berbanding bertikam lidah di pentas terbuka.
Mengulas lanjut, Sheikh Umar berkata, dalam konteks demokrasi dan musim pilihan raya, perdebatan yang matang memberi ruang kepada rakyat menilai idea, dasar dan kemampuan seseorang pemimpin secara terbuka.
Menurut beliau, rakyat Johor berhak mendengar hujah daripada semua pihak sebelum membuat keputusan.
“Namun demikian, saya juga ingin melahirkan rasa hairan terhadap kenyataan Dato’ Onn kerana ia dilihat bercanggah dengan rekod tindakan beliau sendiri.
“Beliau bercakap mengenai adab, tetapi pada masa yang sama pernah menggunakan gelaran yang menghina dan berbaur kebencian terhadap mereka yang mempunyai pandangan politik berbeza,” tegasnya.

Menerusi tangkap layar yang memaparkan satu komentar Onn di media sosial, Pengerusi BN Johor itu pernah menggunakan gelaran ‘penyokong DAPigs’ dan diakhiri tanda pagar ‘lahabau’.
Susulan itu, Sheikh Umar mengingatkan bahawa tindakan menggelarkan pihak lain dengan istilah yang menghina bukanlah cerminan adab, apatah lagi akhlak seorang pemimpin.
“Jika benar Dato’ Onn menjunjung nilai adab, beliau sepatutnya menjawab kritikan dengan fakta dan hujah, bukannya menggunakan bahasa kesat, ejekan atau penghinaan terhadap pihak yang tidak sehaluan.
“Adab sebenar bukan diukur melalui slogan atau kenyataan media. Adab terserlah melalui tutur kata, kesediaan menerima pandangan berbeza, serta kematangan berhujah apabila berdepan kritikan,” kata Sheikh Umar lagi.
BACA JUGA Yakin Onn Hafiz takut berdebat dengan Dr. Maszlee, Puad dedah MB Johor pernah larang perbahasan