Yakin Onn Hafiz takut berdebat dengan Dr. Maszlee, Puad dedah MB Johor pernah larang perbahasan
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi enggan menyertai debat terbuka dengan Dr Maszlee Malik kerana takut berdepan hujah lawan.
Puad menegaskan alasan bahawa bertikam lidah atau berdebat bukan cara Johor tidak wajar dijadikan sebab untuk menolak cadangan debat.
“Saya yakin Onn Hafiz sebenarnya takut untuk berdebat dengan Dr Maszlee. Siapa kata berdebat bukan cara Johor?
“Cara Johor ialah berdebat secara beradab, berhemah, tidak menengking dan tanpa sorakan boo,” katanya dalam satu kenyataan.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu berkata, debat yang berlangsung secara matang dan berasaskan hujah akan memberi peluang kepada rakyat membuat penilaian terhadap kepimpinan dan dasar yang dibawa.
Pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat, Puad turut menyatakan keyakinan bahawa Onn Hafiz mempunyai hujah yang kukuh dan sepatutnya bersedia menerima cabaran tersebut.
Malah, katanya, sekiranya Pengerusi BN Johor itu tidak mahu hadir, beliau boleh menghantar Akmal Saleh sebagai wakil.
Dalam kenyataan sama, Puad turut mengimbau pengalamannya ketika menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Beliau mendakwa pernah diminta oleh Onn Hafiz supaya tidak membenarkan perbahasan mengenai Enakmen ADUN Lantikan melibatkan wakil kerajaan dan pembangkang.
Menurut Puad, beliau ketika itu mempersoalkan tindakan berkenaan memandangkan kerajaan memiliki majoriti dua pertiga di DUN.
Beliau turut mendakwa Onn Hafiz bimbang sesi perbahasan itu akan digunakan pihak pembangkang untuk mengkritik program Bantuan Kasih Johor (BKJ).
Selain itu, beliau mendakwa Menteri Besar juga pernah meminta supaya tempoh sesi soalan lisan dan perbahasan dipendekkan.
Namun, beliau menolak cadangan itu atas alasan menjaga martabat institusi DUN serta memberi ruang sewajarnya kepada wakil rakyat menjalankan tanggungjawab mereka.
Mengakhiri kenyataannya, Puad sekali lagi mencabar Onn Hafiz untuk berdebat.
“Kalau tidak berani dengan Dr Maszlee, berdebat dengan saya pun okey juga,” sindir beliau lagi.
BACA JUGA Itu menantu Mat Sabu! Wanita Muda AMANAH lapor SKMM, polis