Syed Saddiq tunggu nasib esok, selepas 6 tahun lawan kes di mahkamah

Ahli Parlimen Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal mengetahui nasibnya esok sama ada kekal bebas atau diarahkan menjalani hukuman penjara.

Ia berhubung empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) iaitu sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menjelang keputusan penting itu, Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Armada tampil berkongsi luahan penuh emosi mengenai perjalanan enam tahun yang ditempuh sepanjang berdepan proses perbicaraan tersebut.

Menurut Syed Saddiq, sepanjang tempoh itu beliau tidak pernah sekali pun meminta kes berkenaan ditangguhkan, tidak pernah mencari jalan pintas dan tidak pernah menuntut sebarang layanan istimewa.

I faced it head on. I dared to fight, because my conscience is clear,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkenaan berkata, segala usaha telah dilakukan untuk mempertahankan kebenaran dengan seluruh kudrat yang ada sepanjang berdepan proses undang-undang tersebut.

Kini, katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada Allah SWT selepas segala ikhtiar dilakukan.

“Saya sudah pertahankan kebenaran dengan segala kudrat.

“Kini, saya serahkan seluruhnya kepada Allah SWT kerana selepas manusia berusaha, Allah-lah sebaik-baik Penentu,” kata Syed Saddiq lagi.

BACA JUGA Onn cakap tak serupa bikin, sembang pasal adab tapi pernah maki ‘DAPigs, lahabau’