Tergamak Johor buat tindakan ini terhadap PM selepas puluhan bilion dicurah dari Putrajaya
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim mempersoalkan sama ada pentadbiran Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengutamakan kepentingan politik berbanding kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
Muhammad Kamil mendedahkan bahawa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dinafikan penggunaan kemudahan kerajaan Johor di Muar pada saat-saat akhir dan mempersoalkan sama ada tindakan itu bermotifkan politik.
Dalam ceramah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Segamat malam tadi, Kamil berkata, Perdana Menteri sepatutnya menemui nelayan, petani, usahawan dan pendidik di sebuah pusat komuniti di Sungai Balang dua minggu lalu.
Namun, kata Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), pejabat daerah memaklumkan penganjur bahawa tempat itu tidak boleh digunakan.
Akibatnya, beliau berkata, acara terbabit terpaksa dipindahkan ke jeti berhampiran dengan bantuan pihak berkuasa perikanan.

“Adakah kita tidak membenarkan perdana menteri menggunakan kemudahan kerajaan (negeri)? Beliau hanya datang untuk berinteraksi dengan nelayan, petani, peniaga kecil, pendidik dan belia.
“Mengapa kemudahan kerajaan (negeri) tidak boleh digunakan? Apakah isu sebenar?” katanya.
Keutamaan pembangunan
Menurut Kamil, Johor antara keutamaan pembangunan Putrajaya sejak Anwar menerajui Kerajaan Persekutuan pada November 2022, dengan RM39.1 bilion dana pembangunan telah disalurkan ke negeri itu.
Beliau berkata, jumlah tersebut adalah ketiga tertinggi yang diterima kerajaan negeri Johor selepas Sabah dan Sarawak.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Johor mendapat manfaat daripada pelbagai projek persekutuan.
“Ia termasuk hospital, klinik kerajaan, institusi pendidikan, perkhidmatan kereta api ETS, Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura, lebuh raya dan projek infrastruktur lain,” ujarnya.
Selain itu, Kamil mendedahkan bahawa Johor mempunyai jumlah penerima kedua tertinggi program bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Bukankah semua ini sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan?
“Tetapi, apabila Perdana Menteri datang menemui rakyat, beliau tidak dibenar menggunakan kemudahan kerajaan (negeri),” kata Kamil lagi.
BACA JUGA Ahli baru Pas persoal berapa jumlah bayaran cukai Raja-Raja Melayu