‘IPTA jual tempat orang miskin?’ Ini penjelasan Naib Canselor UPSI

Dakwaan bahawa saluran terbuka di universiti awam mengambil hak pelajar miskin dan mengurangkan kuota kemasukan melalui UPU disifatkan sebagai tidak benar.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, menegaskan saluran terbuka tidak pernah menjejaskan tempat atau kuota sedia ada bagi pelajar yang memohon melalui saluran perdana.

“Saluran terbuka tak pernah mengambil hak atau kuota sedia ada. Itu arahan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan ia juga merupakan larangan yang ditetapkan oleh kementerian.

“KPT ada bahagian inspektorat, bahagian tadbir urus dan pelbagai mekanisme pemantauan yang sentiasa memeriksa perkara ini,” katanya.

Menurut beliau, data yang dikeluarkan Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR) turut membuktikan bahawa ambilan pelajar melalui UPU bukan sahaja tidak berkurangan, malah terus meningkat setiap tahun.

“Tahun lepas, ambilan perdana meningkat sebanyak 8,000 tempat. Tahun ini pula kerajaan mengarahkan pertambahan lebih 3,000 tempat bagi kursus kritikal seperti undang-undang, kecerdasan buatan (AI) dan perakaunan.

“Jadi, jelas bahawa saluran terbuka tidak pernah mengambil tempat atau hak mana-mana golongan termasuk pelajar miskin dan B40,” katanya.

Md Amin berkata, matlamat utama saluran terbuka adalah untuk memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada masyarakat, selari dengan dasar pendidikan tinggi negara.

“Dulu universiti dianggap menara gading, hanya golongan tertentu sahaja boleh masuk. Hari ini kerajaan melihat kepentingan pendidikan tinggi dan membuka akses lebih luas kepada masyarakat.

“Saluran terbuka bukan satu-satunya laluan. Kita juga ada saluran APEL untuk golongan profesional, saluran antarabangsa, program profesional dan program luar pesisir,” katanya.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa saluran terbuka diwujudkan semata-mata bagi tujuan menjana keuntungan universiti.

“Yang pertama ialah akses, yang kedua ialah kualiti pendidikan dan yang ketiga memberikan peluang kepada lebih ramai orang mendapat pendidikan tinggi serta memastikan kelestarian universiti.

“Universiti tidak berniaga. Apa yang kita peroleh akan dikembalikan kepada masyarakat dalam bentuk biasiswa, bantuan pelajar dan penambahbaikan kemudahan,” katanya.

Mengulas mengenai tadbir urus saluran terbuka, Md Amin berkata setiap program yang ditawarkan perlu melalui pelbagai proses kelulusan dan audit.

“Ada audit MQA, audit MyRA, audit SETARA dan penilaian program. Semua ini dilaksanakan secara teliti.

“Untuk memperkenalkan sesuatu saluran terbuka, kita perlu mendapat pelbagai kelulusan daripada peringkat Senat universiti, Lembaga Pengarah dan yang paling penting, restu daripada KPT,” katanya.

Beliau menjelaskan saluran terbuka hanya boleh ditawarkan selepas semua proses rayuan UPU selesai dan jumlah pengambilannya juga adalah terhad.

“Kita bukan suka-suka buka pengambilan. Hanya selepas semua proses rayuan selesai, barulah saluran terbuka boleh ditawarkan.

“Ada individu yang tidak mahu memasuki universiti swasta dan lebih yakin dengan jenama universiti awam. Jadi saluran ini memberikan mereka peluang kedua untuk menyambung pengajian,” katanya.

Menurut Md Amin, polemik mengenai saluran terbuka seharusnya dilihat dalam konteks lebih besar iaitu usaha kerajaan memperluaskan akses pendidikan tinggi tanpa mengorbankan hak pelajar melalui saluran perdana UPU.

BACA JUGA Pengundi Cina tidak minat keluar mengundi PRN Johor, kata pengkaji dari Ilham Centre