MTEN gerak 120 keputusan tangani krisis global, ekonomi kini kekal stabil

Walaupun dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran yang mengganggu rantaian bekalan global, kerajaan memberi jaminan bahawa ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dan berada dalam keadaan terkawal.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan telah bertindak pantas sejak konflik itu tercetus dengan memperkukuh tadbir urus krisis menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), yang kini bermesyuarat setiap minggu bagi memantau perkembangan semasa dan menyelaras langkah intervensi.

“Sehingga kini, sebanyak 120 keputusan MTEN telah dan sedang diambil tindakan, dengan 27 daripadanya selesai dilaksanakan manakala 93 lagi masih dalam proses pelaksanaan.

“Ini menunjukkan bahawa intervensi kerajaan bukan sekadar diumumkan, tetapi sedang dilaksanakan dan dipantau secara dekat,” katanya ketika memberi penerangan di Dewan Rakyat hari ini mengenai krisis bekalan global.

Menurut beliau, kerajaan turut menubuhkan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) bagi memantau kedudukan bekalan, harga, rantaian logistik dan keperluan intervensi segera.

Selain itu, Dashboard Pantau Krisis diwujudkan bagi membolehkan perkembangan semasa dipantau hampir secara masa nyata.

Mengulas prestasi ekonomi negara, Akmal berkata asas ekonomi Malaysia kekal kukuh meskipun persekitaran global terus mencabar.

Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026, dipacu oleh permintaan domestik yang terus kukuh.

Pada masa sama, kadar inflasi kekal terkawal pada 2.0 peratus pada Mei lalu berbanding 1.9 peratus pada April.

Prestasi perdagangan negara juga menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah eksport bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 meningkat 24.3 peratus kepada RM793.8 bilion.

Selain itu, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pada suku pertama tahun ini mencecah RM22.8 bilion, khususnya dalam sektor perkhidmatan.

Malaysia turut merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM92.8 bilion melibatkan 1,249 projek yang dijangka mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan baharu.

Bagaimanapun, Akmal menegaskan ukuran sebenar daya tahan ekonomi bukan sekadar angka pertumbuhan atau penarafan penganalisis global.

“Walaupun penganalisis global mengiktiraf kedudukan Malaysia, bagi kerajaan ukuran yang lebih penting ialah rakyat masih boleh mendapatkan bekalan minyak di stesen minyak, memperoleh barangan keperluan di rak kedai, meneruskan pekerjaan serta menerima bantuan apabila diperlukan.

“Itulah maksud sebenar daya tahan ekonomi. Ia bukan sekadar angka dalam laporan, tetapi kestabilan yang dapat dirasai dalam kehidupan harian rakyat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai langkah intervensi bagi melindungi rakyat, menstabilkan bekalan dan harga, menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta membina daya tahan ekonomi negara dalam jangka sederhana dan panjang.

Menurutnya, perkembangan krisis bekalan global akan terus dipantau secara berterusan menerusi MTEN bagi memastikan sebarang risiko terhadap ekonomi negara dapat ditangani lebih awal dan berkesan.

BACA JUGA Onn cakap tak serupa bikin, sembang pasal adab tapi pernah maki ‘DAPigs, lahabau’