PH Johor bantah caj ‘billboard’ PRN, Aminolhuda persoal kenapa calon perlu bayar lagi

Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Aminolhuda Hassan menggesa Majlis Perbandaran Kluang membatalkan segera cadangan untuk mengenakan bayaran kepada calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang ingin berkempen melalui papan iklan (billboard).

Beliau yang mewakili calon-calon PRN Johor berkata, proses pilihan raya yang wajib bagi setiap negara yang mengamalkan demokrasi sewajarnya diberikan kemudahan berkempen terutama dalam tempoh kempen yang singkat hanya dua minggu sahaja.

Menurutnya, proses pilihan raya juga bukan berkonsepkan perniagaan yang mendatangkan keuntungan kepada calon atau parti yang bertanding, sebaliknya ia adalah proses memperkenalkan diri calon kepada pengundi di kawasan masing-masing dengan bilangan papan iklan yang terhad.

“Dengan tempoh kempen yang singkat hanya dua minggu, sangat tidak munasabah untuk dikenakan bayaran bagi pemasangan papan iklan sewaktu kempen yang hanya dua minggu 

“Semua calon telah buat bayaran deposit permit iklan kepada Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran atau Majlis Bandaraya yang menjadi syarat wajib kepada setiap calon untuk dibenar dan disahkan bertanding oleh SPR. 

“Mengapa calon masih perlu buat bayaran Permit Iklan papan iklan?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Aminolhuda yang juga Pengerusi AMANAH Johor berkata, deposit permit iklan seharusnya boleh dilupuskan dari calon sekiranya pihak calon tidak membersihkan segala bentuk bahan kempen selepas suatu tempoh yang ditetapkan oleh pihak Majlis.

“Kami mengharapkan Majlis Perbandaran Kluang membatalkan niat untuk calon membayar permit papan iklan supaya tidak menekan parti atau calon yang tiada kemampuan menjelaskan bayaran yang akhirnya ketidakadilan proses pilihan raya menimpa suatu pihak yang kurang berkemampuan,” ujarnya lagi.

Dalam satu notis Jabatan Kawalan Bangunan, Majlis Perbandaran Kluang, tertera kadar bayaran permit pemasangan papan iklan (billboard) bagi tujuan kempen pilihan raya yang mencecah RM1,630 bagi setiap unit bersaiz 10 kaki x 40 kaki.

Manakala bagi saiz 10 kaki x 16 kaki pula berharga RM830 termasuk permit papan iklan RM300, Wang Amanah Permit Papan Iklan RM500 dan Pelekat Permit Papan Iklan RM30.

BACA JUGA Jika BN-Pas ‘dua kali lima’, Pakatan Harapan lah pilihan terbaik