Puad minta pengundi Rengit, tangguh dulu undi BN?
Pengundi di DUN Rengit diminta menangguhkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) sehingga kerajaan negeri menyelesaikan dua masalah utama yang membelenggu kawasan itu, iaitu isu bekalan air dan benteng Kampung Berong Laut yang berulang kali pecah.
Gesaan itu dibuat bekas ADUN Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang berkata kedua-dua isu tersebut sudah berlarutan terlalu lama tanpa penyelesaian tuntas.
Menurutnya, walaupun Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dikenali sebagai pemimpin yang rajin turun padang dan memberi peruntukan secara sama rata kepada wakil rakyat, beliau seharusnya memberi keutamaan kepada kawasan yang berdepan masalah mendesak.
“Beberapa kali saya minta Onn Hafiz turun dan datang sendiri ke Rengit sebagai ‘push factor’ kepada agensi kerajaan supaya penyelesaian dapat disegerakan.
“Tetapi beliau lebih banyak memberi tumpuan kepada kawasan bandar dan kerap ke Skudai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mohd Puad berkata, isu bekalan air di Rengit sebenarnya sudah memasuki peringkat akhir apabila peruntukan dan tapak pembinaan tangki air baharu telah disediakan.
Bagaimanapun, katanya, proses pelantikan kontraktor terus tertangguh manakala jawapan yang diberikan kerajaan negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) pula sering berubah.
Mengenai isu benteng di Kampung Berong Laut, beliau mendakwa telah melakukan lebih 25 lawatan ke kawasan berkenaan susulan kejadian benteng pecah yang menyebabkan kebun sawit penduduk rosak.
“Kalau MB turun sendiri, beliau boleh lihat kualiti kerja di situ dan menyaksikan sendiri kerosakan yang dialami penduduk.
“Sawit mereka mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk pulih semula,” katanya.
Menurutnya, hanya kira-kira 30 keluarga menerima pampasan setakat ini, manakala ramai lagi mangsa masih menunggu bantuan.
Beliau turut mendakwa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap nasib penduduk terlibat.
Sehubungan itu, Mohd Puad menggesa pengundi di Rengit menggunakan kuasa mereka dalam pilihan raya bagi mendesak penyelesaian segera terhadap dua isu berkenaan.
“Saya minta pengundi Rengit tangguh dulu beri undi kepada BN sehingga dua isu besar ini selesai. Jadikan itu syarat.
“Ini bukan janji bulan dan bintang. Orang Rengit jaga Rengit,” katanya.
BACA JUGA Pengundi Cina tidak minat keluar mengundi PRN Johor, kata pengkaji dari Ilham Centre