Tak kira anak siapa, BAKAT MADANI buka 25,000 peluang untuk belia
Seramai 25,000 anak muda dan penerima manfaat dijangka menerima peluang latihan, peningkatan kemahiran serta pekerjaan menerusi inisiatif BAKAT MADANI yang dilancarkan kerajaan bagi tempoh 2026 hingga 2027.
Inisiatif itu dilaksanakan secara bersama oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan PETRONAS dalam usaha memperluaskan akses kepada pembangunan bakat serta meningkatkan kebolehpasaran golongan muda.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, BAKAT MADANI bukan sekadar program menyediakan peluang pekerjaan, sebaliknya satu ikhtiar nasional untuk memastikan setiap anak Malaysia mempunyai peluang yang adil untuk mengembangkan potensi diri.
“Hari ini saya meluncurkan BAKAT MADANI di Sendayan, Negeri Sembilan, satu ikhtiar nasional yang digerakkan bersama GLIC, GLC dan PETRONAS bagi membuka peluang kepada 25,000 anak muda serta penerima manfaat sepanjang 2026 hingga 2027,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut beliau, kerajaan menyedari tidak semua rakyat bermula daripada titik kehidupan yang sama dan atas sebab itu akses kepada pendidikan, latihan serta peluang pekerjaan perlu diperluaskan.
“BAKAT MADANI bukan sekadar membuka ruang latihan dan pekerjaan, tetapi memastikan setiap anak Malaysia tanpa mengira latar belakang mempunyai peluang yang adil untuk mengembangkan potensi dan membina kehidupan yang lebih bermaruah.
“Kita sedar tidak semua bermula dari titik yang sama. Justeru, tanggungjawab Kerajaan MADANI adalah memperluas akses, memperkasa bakat dan memastikan tiada yang tercicir daripada arus kemajuan,” katanya.
Anwar berkata, usaha itu juga merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi perubahan ekonomi serta tuntutan pasaran pekerjaan masa depan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang terlibat dalam menjayakan inisiatif berkenaan.
“Semoga BAKAT MADANI menjadi pemangkin melahirkan generasi Malaysia yang berilmu, berkemahiran, berakhlak dan yakin membina masa depan negara,” katanya.
Pelancaran BAKAT MADANI dilihat sebagai satu lagi usaha kerajaan memperkukuh agenda pembangunan modal insan negara, khususnya dalam kalangan belia, menerusi kerjasama strategik antara kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.
BACA JUGA Yakin Onn Hafiz takut berdebat dengan Dr. Maszlee, Puad dedah MB Johor pernah larang perbahasan