Penerima BUDI MADANI nikmati subsidi sehingga 300 liter sebulan
Kerajaan mengumumkan penambahbaikan program BUDI MADANI yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026, membolehkan penerima yang layak menikmati satu peruntukan gabungan sehingga 300 liter sebulan bagi pembelian petrol RON95 dan diesel bersubsidi.
Menerusi infografik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, penerima boleh membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter dan diesel pada harga RM2.10 seliter di bawah skim berkenaan.
Menurut kementerian, penambahbaikan itu bertujuan memudahkan rakyat, khususnya golongan yang layak menerima subsidi bersasar, dengan memperkenalkan peruntukan gabungan bagi kedua-dua jenis bahan api.
Di bawah mekanisme baharu itu, pengguna hanya perlu:
- Memasukkan MyKad;
- Melalui proses pengesahan automatik;
- Membayar pada harga subsidi; dan
- Mengisi RON95 atau diesel.
Sebelum ini, bantuan bahan api di bawah BUDI MADANI diberikan mengikut kategori tertentu, namun penambahbaikan terbaharu itu membolehkan penerima menggunakan kuota subsidi secara lebih fleksibel mengikut keperluan mereka.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai skim berkenaan menerusi laman sesawang rasmi BUDI MADANI di www.budimadani.gov.my atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan BUDI MADANI di talian 1300-88-9595.
BACA JUGA Mahu semua parti Melayu melutut, Pas sudah pecahkan Bersatu, Umno pula jadi sasaran