Tiada lagi had diesel, kawalan penjualan di Sabah, Sarawak dan Labuan dibatalkan mulai hari ini
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini membatalkan arahan kawalan penjualan diesel bagi kenderaan pengangkutan darat di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Ia termasuk pemansuhan had pembelian 50 liter, 100 liter dan 150 liter yang sebelum ini dikenakan.
Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Adam, pembatalan Arahan Melaksanakan Kawalan Penjualan Diesel Ke Atas Kenderaan Pengangkutan Darat bertarikh 27 Mac 2026 itu, dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Jun lalu.
Pengumuman Anwar yang juga Menteri Kewangan itu mengenai penyeragaman harga diesel bersubsidi di bawah Program BUDI Diesel kepada RM2.10 seliter.
Beliau berkata, pembatalan itu juga selaras dengan pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad di stesen minyak, yang turut berkuat kuasa mulai hari ini.
“Sehubungan dengan itu, semua pemegang lesen barang kawalan berjadual runcit yang menjual petrol atau diesel di negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, adalah diminta mengambil maklum bahawa arahan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat tidak lagi berkuat kuasa mulai tarikh tersebut,” menurut kenyataan KPDN lagi.
Jelas Azman, KPDN yakin mekanisme baharu yang diperkenalkan kerajaan akan memastikan pengagihan diesel bersubsidi dilaksanakan secara lebih bersasar, cekap dan berkesan, di samping memudahkan urusan pengguna yang layak.
Tambahnya, KPDN turut menggesa semua pihak supaya mematuhi sepenuhnya mekanisme baharu yang ditetapkan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.
BACA JUGA ‘Saya pernah minta derma untuk Pas lawan Umno, tapi kini adakah Pas tipu jemaah?’