Guan Eng, Tony Pua jawab isu LRT3: Projek tak pernah dihenti, kos asal zaman Najib cecah RM31.65 bilion
Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan penasihatnya ketika itu, Tony Pua menegaskan projek LRT3 atau kini dikenali sebagai Laluan LRT Shah Alam tidak pernah dihentikan, terbengkalai atau digantung ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) antara 2018 hingga 2020.
Dalam kenyataan media bersama hari ini, kedua-dua pemimpin DAP berkenaan berkata, pentadbiran PH ketika itu menyokong penuh projek tersebut kerana ia dianggap kritikal untuk meningkatkan kualiti hidup harian penduduk Lembah Klang.
Menurut mereka, penjelasan itu dibuat dengan penuh hormat susulan titah pandangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung penyiapan projek berkenaan.
“Kami dengan penuh hormat menghargai dan menjunjung kasih atas titah pandangan DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung penyiapan projek LRT3, yang kini dinamakan Laluan LRT Shah Alam.
“Kami ingin dengan penuh hormat dan rendah diri menjelaskan beberapa perkara yang boleh disahkan dengan pihak Prasarana dan MRCB Bhd,” kata mereka.
Guan Eng dan Tony Pua yang juga bekas Ahli Parlimen Damansara berkata, projek LRT3 pada asalnya diluluskan pada 2015 oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, dengan peruntukan RM9 bilion.
Namun, menurut mereka, Prasarana kemudian menganugerahkan pelbagai Kontrak Pakej Kerja berjumlah RM15.2 bilion pada Mac 2018, jauh melebihi peruntukan asal yang diluluskan.
Mereka berkata, selepas mengambil kira kos lain termasuk pengambilan tanah, yuran rakan pelaksana projek, perunding dan faedah sepanjang tempoh pembinaan, Prasarana pada Mac 2018 mengemukakan cadangan belanjawan baharu sebanyak RM31.65 bilion.
Menurut mereka, Prasarana turut memohon tambahan jaminan kerajaan sebanyak RM22 bilion bagi mendapatkan pembiayaan projek tersebut.
Kedua-dua pemimpin itu berkata, selepas perubahan kerajaan pada Mei 2018, kerja projek tetap diteruskan tanpa gangguan, manakala pentadbiran baharu bekerjasama rapat dengan MRCB-George Kent selaku Project Delivery Partner bagi merasionalisasikan kos projek.
Katanya, semakan semula dibuat kerana ketika itu projek hanya siap sekitar sembilan peratus, selain wujud keperluan meneliti semula kos susulan hutang luar kunci kira-kira yang didakwa tersembunyi ketika pentadbiran Najib.
“Jemaah Menteri telah meluluskan semakan kos menurun sebanyak 47 peratus, daripada RM31.65 bilion kepada RM16.63 bilion, iaitu penjimatan sebanyak RM15.02 bilion,” kata mereka.
Kesejahteraan rakyat

Semalam, Sultan Sharafuddin bertitah, ketika berlaku pertukaran kerajaan pada 2018, projek LRT3 tergendala lebih 18 bulan dengan tambahan 19 bulan akibat wabak COVID-19 sehinggalah 2021.
Titah baginda, Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng bersama penasihatnya Tony Phua mengecilkan kos pelaburan untuk projek berkenaan atas alasan ia projek ‘mega’ sedangkan mereka tidak memahami tujuan pembinaan projek LRT3 berkenaan demi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.
“Beta ingin tegaskan bahawa ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi ia projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat beta. Ketika Kementerian Kewangan di bawah pentadbiran Guan Eng, saiz setiap stesen dikecilkan dan jumlah gerabak kereta api dikurangkan manakala lima lokasi cadangan stesen dalam jajaran itu juga dibatalkan.
“Namun, Alhamdulillah apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau bersetuju untuk meneruskan projek ini dengan mengembalikan semula lima stesen yang dibatalkan dan akan turut membina rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3 bagi menambah kemudahan kepada rakyat beta.
“Beliau juga mengarahkan agar tiada lagi sebarang halangan yang perlu dilayan daripada mana-mana pihak berkaitan dengan projek ini.
“Terima kasih dan syabas beta ucapkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” titah Sultan Selangor.
Fungsi dan kepraktisan
Mengulas lanjut, Guan Eng dan Pua berkata, langkah rasionalisasi itu dibuat dengan mengutamakan fungsi dan kepraktisan, bukan kemewahan atau kemegahan.
Antara langkah yang diambil termasuk mengurangkan tempahan tren daripada 42 set tren enam gerabak kepada 22 set tren tiga gerabak, berdasarkan kajian trafik penumpang sehingga 2035 yang dijalankan perunding bebas dan diluluskan pihak berkuasa berkaitan.
Selain itu, pembinaan lima stesen LRT yang mempunyai unjuran penumpang awal rendah ditangguhkan, bukannya dibatalkan, dengan peruntukan teknikal disediakan supaya stesen terbabit boleh dibina pada masa hadapan.
Menurut mereka, lima stesen itu kini dimasukkan semula selaras perkembangan semasa, dengan kerajaan menganugerahkan kontrak fasa kedua bernilai RM5.3 bilion merangkumi stesen berkenaan, pertambahan tren dan penaiktarafan lain.
Katanya, langkah itu menjadikan nilai projek meningkat daripada RM16.63 bilion kepada RM21.93 bilion, namun jumlah berkenaan masih RM9.72 bilion lebih rendah berbanding kos asal RM31.65 bilion.
Kos pecutan
Mereka turut menjelaskan, tarikh sasaran siap projek dilanjutkan daripada 2020 kepada 2024 kerana sasaran asal 2020 disifatkan mustahil dicapai memandangkan hanya sembilan peratus projek siap menjelang pertengahan 2018.
Menurut mereka, pelanjutan itu turut menghapuskan kos pecutan, iaitu bayaran premium kepada kontraktor untuk mempercepatkan kerja pembinaan.
Lim dan Pua berkata, pentadbiran PH juga memansuhkan model PDP yang didakwa mewujudkan insentif songsang kerana kontraktor memperoleh bayaran berdasarkan peratusan daripada jumlah kos projek.
“Semakin tinggi kos projek, semakin tinggi yuran yang diterima. Model ini mewujudkan insentif songsang kepada PDP untuk meningkatkan nilai projek.
“Model PDP tersebut telah ditukar kepada Kontrak Harga Tetap, sekali gus memastikan tiada lebihan kos kepada kerajaan,” kata mereka.
Mereka berkata, projek LRT3 kini berjaya disiapkan dengan peningkatan dan penambahbaikan tambahan, sekali gus membolehkan penjimatan kos projek awal melebihi RM9.72 bilion kepada pembayar cukai.
Selain itu, mereka menjelaskan bahawa kerajaan juga dijangka dapat menjimatkan sehingga RM10 bilion lagi dalam kos faedah sepanjang tempoh 25 hingga 30 tahun hasil beban hutang projek yang lebih rendah.
“Kami ingin menegaskan semula bahawa penjimatan kepada Kerajaan Malaysia ini tidak dibuat dengan mengorbankan jumlah penumpang dan fungsi LRT.
“Penjimatan ini sebaliknya membolehkan Kerajaan semasa dan Kerajaan pada masa hadapan memperuntukkan semula dana kepada manfaat kebajikan lain untuk rakyat serta perbelanjaan pembangunan,” kata mereka.
Dalam masa sama, Guan Eng dan Tony Pua turut merakamkan penghargaan kepada Sultan Selangor atas keprihatinan baginda terhadap projek LRT3 yang disifatkan penting dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas, memendekkan masa perjalanan dan menjadi pemangkin ekonomi pembangunan Selangor.
BACA JUGA ‘Keadilan bukan bermusim’ – Anwar pertahan dasar luar bebas Malaysia