‘Keadilan bukan bermusim’ – Anwar pertahan dasar luar bebas Malaysia

Malaysia tidak akan menggadaikan prinsip dan akan terus mempertahankan keamanan, menolak dominasi serta berdiri bersama golongan yang dizalimi dalam suasana dunia yang semakin menyaksikan kemerosotan nilai dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, dunia ketika ini sedang berdepan keadaan di mana kekuatan dan dominasi semakin mengatasi kebenaran, manakala prinsip serta undang-undang antarabangsa pula digunakan secara terpilih mengikut kepentingan kuasa tertentu.

“Dalam suasana yang sedemikian, Malaysia tidak akan sama sekali menggadaikan prinsipnya, malah akan kekal cekal menjulang ketegasan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata, Malaysia akan terus menolak segala bentuk dominasi dan imperialisme serta mempertahankan prinsip keadilan sejagat tanpa mengira pertimbangan geopolitik.

“Kita akan terus mempertahankan keamanan, menolak dominasi dan imperialisme serta berdiri teguh bersama mereka yang dizalimi kerana keadilan tidak boleh bersifat bermusim dan maruah manusia tidak boleh diukur mengikut neraca geopolitik,” katanya.

Menurut beliau, dasar luar Malaysia akan terus berpaksikan kebebasan, ketegasan dan kebijaksanaan tanpa terikat kepada mana-mana blok kuasa.

“Kita tidak terikat pada mana-mana blok kuasa, sebaliknya akan terus berpegang kepada keyakinan bahawa persahabatan harus terpatri atas asas saling hormat, bukan dominasi,” katanya.

Mendukung keamanan

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa ASEAN kekal sebagai platform utama dalam mendukung keamanan dan keadilan di rantau ini.

Katanya, dalam keadaan dunia yang semakin berpecah, usaha untuk terus duduk semeja, berdialog dan mencari titik persamaan adalah jauh lebih bernilai berbanding retorik yang hanya menyemarakkan permusuhan.

“ASEAN bukan sempurna, tetapi dalam dunia yang semakin terpecah, ikhtiar untuk terus berdialog dan mencari titik temu jauh lebih bernilai,” katanya.

Dalam hantaran sama, Anwar turut menyentuh tindakan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia.

Beliau menyifatkan tindakan tersebut tidak mencerminkan layanan sewajarnya terhadap Malaysia sebagai rakan strategik.

“Saya tegaskan itu bukan caranya Norway melayan rakan strategik seperti Malaysia,” katanya.

Anwar turut memaklumkan bahawa beliau telah menerima pengesahan daripada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, bahawa Washington tidak terlibat atau mempengaruhi keputusan Norway berhubung perkara itu.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia akan terus memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa, memperkukuh hubungan dengan rakan sedia ada serta meneroka peluang baharu bersama negara-negara di Selatan Global (Global South).

Beliau menegaskan diplomasi Malaysia bukan sekadar urusan antara kerajaan, sebaliknya merupakan ikhtiar untuk membuka peluang kepada rakyat, mengangkat martabat negara dan memastikan Malaysia terus bergerak dengan yakin di pentas antarabangsa.

“Malaysia akan terus melangkah dengan yakin; berprinsip dengan kewarasan, berani tanpa bersikap gopoh serta tegas tanpa hilang adab dan kemanusiaan,” katanya.

BACA JUGA Apa PH nak tawar kepada Johor? Manifesto PRN akan dilancar esok