Onn Hafiz takut ke ‘berdialog’ dengan Dr Maszlee, tanya Fahmi

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil mencabar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk berdialog dengan calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menawarkan platform Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV1 bagi Onn Hafiz yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor dan bekas Menteri Pendidikan itu untuk mengadakan sesi dialog.

“Saya sediakan pentas, tempat, kamera.

“Bukan berdebat tetapi berdialog. Ke takut?” sindir beliau ketika ditemui media di Majlis Makan Malam Amal di Muar, malam ini.

Beliau berkata, dialog antara dua calon semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini akan memberi peluang kepada rakyat menilai sendiri pandangan, idea dan hala tuju yang dibawa kedua-dua pemimpin.

Menurut Fahmi, seseorang yang ingin menjadi calon Menteri Besar perlu bersedia berdepan media, penyokong serta pihak yang mempunyai pandangan berbeza.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang berpendapat PH perlu menamakan calon Menteri Besar Johor terlebih dahulu sebelum mendesak Onn Hafiz menyertai debat.

Reaksi berbeza

Sebelum ini, Onn menolak cabaran berdebat dengan calon PH dengan alasan debat terbuka bukan pendekatan yang sesuai.

Alasannya lagi, budaya politik di Johor lebih mengutamakan adab, keharmonian, dan perbincangan tertib, selain bimbang perdebatan terbuka akan mencetuskan ketegangan emosi dalam kalangan penyokong.

Reaksi Onn itu berbeza dengan Dr Maszlee Malik yang secara terbuka bersedia dan menyahut cabaran untuk berdebat.

Cabaran penganjuran ‘Debat Perdana PRN Johor’ itu mulanya dicetuskan pempengaruh Muhamad Harris Nasril selepas Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kesemua 56 calon mewakili PH, di Muar, pada 22 Jun lalu.

Pada PRN ke-16 ini, PH mempertaruhkan 20 calon mewakili PKR, 19 calon AMANAH dan 17 calon DAP.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Julai bagi pengundian awal dan 11 Julai sebagai hari pengundian.

BACA JUGA ‘Penyatuan ummah’ cuma perangkap kuasa, Bersatu mangsa terbaru politik tikam belakang