Anwar jawab isu pelantikan Azam Baki dalam NFCC
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tampil menjawab berhubung bantahan pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Bercakap kepada media, Anwar berkata lantikan ini telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sendiri, maka pembatalan lantikan tersebut hanya boleh dilakukan oleh baginda.
“Lantikan (Azam Baki) terpakai sehingga 2027 dan kuasa untuk membatalkannya hanyalah boleh dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“…ia tidak terkait dengan (status) sebagai Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah (SPRM),” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, hari ini.
Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil sebelum ini menjelaskan bahawa pelantikan Azam Baki dibuat atas kapasiti individu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Justeru, keanggotaan beliau dalam Lembaga Penasihat NFCC tidak terikat kepada jawatan ketua pesuruhjaya SPRM dan kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh pelantikan, melainkan ditamatkan lebih awal oleh Agong.
BACA JUGA Johor bukan untuk kroni, Dr Maszlee pertegas manifesto PH lahir dari suara rakyat