Dakwaan dana KKM dipotong RM3 bilion tidak benar, Dr Dzulkefly jamin ubat dan rawatan tidak terjejas
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menafikan dakwaan bahawa peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tahun 2026 dipotong sebanyak RM3 bilion.
Beliau menegaskan dakwaan itu tidak benar dan menjelaskan bahawa rundingan dua hala antara KKM dan Kementerian Kewangan (MOF) hanya mencapai persetujuan berhubung sekatan perbelanjaan berjumlah RM500 juta.
Menurut Dr Dzulkefly, jumlah RM500 juta itu bukan pemotongan terhadap perkhidmatan kesihatan rakyat.
Sebaliknya, jelas beliau, ia merupakan pelarasan teknikal ke atas baki peruntukan gaji atau emolumen bagi perjawatan kosong yang masih belum diisi.
“Adakah bajet KKM 2026 dipotong RM3 bilion? Jawapannya: tidak benar,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.
Dr Dzulkefly turut menjelaskan bahawa pelarasan tersebut sama sekali tidak menjejaskan kelulusan 18,641 perjawatan baharu oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk KKM bagi tahun ini.
Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor memberi jaminan bahawa peruntukan melibatkan ubat-ubatan, rawatan, peralatan perubatan serta kebajikan pesakit di hospital dan klinik langsung tidak disentuh.
Katanya, operasi kesihatan awam juga akan terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
“Jaminan saya buat seluruh rakyat Malaysia, peruntukan ubat-ubatan, rawatan, peralatan perubatan dan kebajikan pesakit di hospital mahupun klinik langsung tidak disentuh.
“Operasi kesihatan awam berjalan seperti biasa,” katanya sambil turut berkongsikan poster mengenai kronologi sebenar berkaitan isu sekatan perbelanjaan KMM.
Sehubungan itu, Dr Dzulkefly meminta orang ramai meneliti kronologi tersebut supaya penilaian terhadap isu berkenaan dibuat berdasarkan fakta yang tepat, bukan dakwaan yang mengelirukan.
Tegas beliau lagi, Kerajaan MADANI sentiasa meletakkan kesihatan dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan tertinggi.


BACA JUGA Ada akaun palsu guna wajah calon sebar fitnah, SKMM pantau rapat kempen PRN Johor