Gegantung kempen ditutup pihak lawan, calon PH Bukit Permai beri amaran tindakan undang-undang
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N50 Bukit Permai, Mohamad Shafwan Ani, mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa menutup bunting kempennya dengan bahan kempen calon lawan.
Pembantu Khas Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkenaan berkata, perbuatan itu disaksikan sendiri ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri ceramah di Ulu Choh malam tadi.
Menurut Mohamad Shafwan, tindakan tersebut mencerminkan budaya politik tidak matang dan tidak sepatutnya berlaku dalam kempen pilihan raya yang sepatutnya berlangsung secara sihat, bersih dan beradab.
“Politik yang matang tidak seharusnya dicemari dengan taktik lapuk seperti ini.
“Kita sepatutnya bersaing melalui idea, khidmat kepada rakyat dan tawaran dasar, bukannya dengan merosakkan atau mengganggu bahan kempen pihak lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Shafwan, 33, memaklumkan laporan rasmi telah dibuat kepada Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Dalam masa sama, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu memberi amaran bahawa beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap parti terlibat sekiranya insiden sama berulang.
Katanya, kempen pilihan raya perlu menghormati proses demokrasi dan tidak dicemari dengan permainan politik kotor yang hanya merugikan rakyat.
“Saya dan pasukan akan terus berkempen secara berhemah, mematuhi undang-undang serta fokus membawa mesej kepada rakyat.
“Biarlah rakyat menilai berdasarkan kerja, integriti dan keikhlasan, bukannya melalui permainan politik kotor,” katanya.
Dalam masa sama, pemuda muda DAP itu turut menyeru penyokong PH supaya kekal tenang dan terus bergerak membawa mesej kempen kepada pengundi Bukit Permai.
Beliau menegaskan bahawa rakyat wajar diberi ruang membuat penilaian berdasarkan tawaran dan rekod calon, bukan dipengaruhi oleh taktik kempen yang tidak sihat.
Untuk rekod, dalam PRN Johor ke-16 ini, Shafwan berdepan saingan empat penjuru di DUN Bukit Permai, menentang penyandang kerusi itu Datuk Mohd Jafni Md Shukor dari Barisan Nasional (BN), M. Lina Manoh (pn) serta Muhammad Aidil Riduan Mohd Yusof dari Parti Bersama Malaysia.
BACA JUGA Dakwaan dana KKM dipotong RM3 bilion tidak benar, Dr Dzulkefly jamin ubat dan rawatan tidak terjejas