5 janji Faezuddin buat Kempas: Dari lepasan SPM sampai PPR?
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Kempas, Faezuddin Puad menggariskan lima komitmen utama yang menurutnya akan menjadi fokus sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Manifesto itu memberi tumpuan kepada isu pendidikan, kos sara hidup, perumahan, kesihatan serta pembangunan belia dan sukan, yang disifatkannya sebagai keperluan paling mendesak penduduk Kempas.
Menurut Faezuddin, Kempas sebagai pintu masuk utama ke Johor Bahru sedang berkembang pesat, namun perkembangan itu turut membawa cabaran termasuk peningkatan kos sara hidup, isu perumahan, peluang pendidikan dan kesejahteraan komuniti.
Antara janji utama beliau ialah penubuhan Pusat Hala Tuju Lepasan SPM Kempas, yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti membantu pelajar mendapatkan laluan ke institusi pengajian tinggi, TVET, politeknik serta latihan kemahiran.
Beliau turut berjanji menyediakan khidmat kaunseling pendidikan dan kerjaya secara percuma, membantu permohonan UPU, biasiswa serta pinjaman pendidikan supaya tiada pelajar tercicir akibat kekurangan maklumat.
Selain itu, Faezuddin mahu memperjuangkan Dana Kecemerlangan Anak Kempas dan memperluaskan latihan kemahiran digital seperti kecerdasan buatan (AI), pemasaran digital, reka bentuk grafik dan penyuntingan video bagi meningkatkan kebolehpasaran belia.
Dalam menangani kos sara hidup, beliau berikrar memperluaskan Program Jualan Rahmah ke lebih banyak kawasan perumahan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM), selain memastikan lebih ramai penduduk mendapat akses kepada bantuan dan insentif kerajaan.
Beliau juga mencadangkan program literasi kewangan, latihan keusahawanan serta bantuan khusus kepada golongan rentan termasuk warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga B40.
Bagi isu perumahan pula, Faezuddin mahu memperkasa semula pengurusan Program Perumahan Rakyat (PPR) Kempas, termasuk menaik taraf kemudahan asas seperti lif, bekalan air, elektrik, keselamatan dan kawasan rekreasi.
Beliau turut mencadangkan pembinaan lebih banyak Rumah Mampu Milik Johor serta mewujudkan Bank Data Perumahan Rakyat Kempas bagi membantu perancangan perumahan yang lebih sistematik.
Dalam aspek kesihatan, manifesto itu menggariskan usaha memperluaskan pemeriksaan kesihatan berkala, klinik bergerak, kempen kesedaran kesihatan mental serta penubuhan rangkaian Rakan Peduli bagi membantu golongan yang memerlukan sokongan awal.
Sementara itu, bagi pembangunan belia, Faezuddin berjanji memperjuangkan penaiktarafan kemudahan sukan, menubuhkan Pusat Aktiviti Belia Kempas serta memperkenalkan Liga Sukan Komuniti Kempas bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan pembangunan bakat anak muda.
Mengakhiri kenyataannya, beliau berkata lima komitmen tersebut bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya pelan tindakan yang dirangka berdasarkan keperluan sebenar masyarakat di Kempas.
“Saya menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat yang sentiasa bersama masyarakat, mendengar keperluan rakyat dan memperjuangkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada seluruh warga Kempas,” katanya.
BACA JUGA Tidak kira ramalan cerdik pandai atau ‘pak belalang’, DAP fokus kerja keras