Netizen minta debat terbuka Isham Jalil vs pempengaruh
Perdebatan mengenai isu ekonomi negara kembali menjadi perhatian apabila sedutan video memaparkan pempengaruh media sosial, Faiz Ahmad, mengulas dan mempertikaikan beberapa hujah yang sering dibangkitkan bekas Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil, tular di media sosial.
Video yang dikongsikan di beberapa platform itu memaparkan Faiz memberi penjelasan berhubung konsep pengurusan hutang negara, saiz ekonomi dan defisit fiskal.
Beliau berhujah bahawa jumlah hutang semata-mata tidak boleh dijadikan ukuran prestasi sesebuah kerajaan tanpa mengambil kira pertumbuhan ekonomi serta kemampuan negara mengurus hutang.
Menurut Faiz, setiap kali membincangkan isu hutang negara, tiga perkara perlu diberi perhatian iaitu saiz ekonomi negara, jumlah hutang terkumpul dan kadar penambahan hutang setiap tahun.
“Hutang negara tidak boleh dilihat hanya pada jumlah keseluruhan kerana Malaysia telah lama mengamalkan belanjawan defisit. Apa yang lebih penting ialah bagaimana hutang itu diurus dan sama ada ekonomi berkembang lebih pantas,” katanya dalam video berkenaan.
Beliau turut menggesa supaya perbahasan ekonomi dibuat berasaskan data dan fakta, bukannya naratif politik yang hanya menonjolkan angka hutang tanpa memberi konteks.
Dalam video sama, Faiz turut menyentuh isu Special Drawing Rights (SDR) yang pernah menjadi polemik sekitar tahun 2020. Menurutnya, penjelasan mengenai SDR perlu dibuat secara menyeluruh bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Sedutan video itu turut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial. Antara komen yang mendapat perhatian ialah gesaan supaya Isham Jalil dan Faiz Ahmad mengadakan perdebatan secara terbuka mengenai ekonomi agar orang ramai dapat menilai sendiri hujah kedua-dua pihak.
Berdasarkan paparan pada video yang tular, seorang pengguna media sosial menulis:
“Isham Jalil apa lagi… debatlah, jangan tak respons. Kita orang nak dengar juga.”
Bagaimanapun, setakat ini belum terdapat maklum balas atau respons terbuka daripada Isham Jalil terhadap gesaan tersebut.
Isu pengurusan hutang negara, defisit fiskal dan pertumbuhan ekonomi terus menjadi antara topik utama perdebatan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dengan kedua-dua blok politik saling mempertahankan rekod pengurusan ekonomi masing-masing.
BACA JUGA 5 janji Faezuddin buat Kempas: Dari lepasan SPM sampai PPR?