Puad yakin Dr Maszlee mampu bawa perubahan di Felda Ulu Tebrau, puji komitmen PMX
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, menyatakan keyakinan bahawa calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik, mampu membawa pembangunan lebih pesat kepada komuniti Felda sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Mohd Puad berkata, beliau melihat sendiri sambutan masyarakat Felda terhadap kepimpinan PH dan percaya agenda pembangunan yang dibawa kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan memberi manfaat kepada kawasan berkenaan.
“Saya nampak sokongan masyarakat Felda cukup jelas dan saya rasa memang wajar Felda Ulu Tebrau ini diberi perhatian.
“Saya yakin kalau Dr Maszlee diberikan mandat, beliau mampu memajukan lagi kawasan-kawasan Felda, khususnya di Ulu Tebrau,” katanya ketika ditemui selepas Program Dialog Terbuka Belia di Felda Ulu Tebrau pada Sabtu.
Menurut beliau, keyakinan itu turut disandarkan kepada komitmen Perdana Menteri yang berulang kali menekankan kepentingan pembangunan kawasan Felda dalam ucapannya.
“Saya fikir beliau komited kepada perkara tersebut sebab beliau mengulangi beberapa kali mengenai Felda Ulu Tebrau,” katanya.
Kehadiran Mohd Puad pada program itu turut mencuri perhatian apabila beliau disambut mesra oleh Anwar sebaik Perdana Menteri tiba kira-kira jam 9.40 malam. Kedua-duanya dilihat bersalaman sebelum berpelukan di hadapan para hadirin.
Mohd Puad menjelaskan beliau hadir bagi memenuhi jemputan seorang rakan, selain menyatakan sokongan terbuka kepada Dr Maszlee Malik yang bertanding di DUN Puteri Wangsa.
Beliau berkata, keputusannya hadir ke pentas PH bukan sesuatu yang mudah, namun dibuat atas pegangan prinsip.
“Bukan mudah untuk saya muncul seperti malam ini. Tetapi saya berpegang kepada kejujuran politik, kesungguhan politik (political will) dan keberanian politik.
“Saya mahu mendidik rakyat bahawa dalam politik ini, ada kalanya kita perlu berkorban. Kalau kita konsisten dan istiqamah dengan prinsip, kita sebenarnya tidak rugi,” katanya.
Sebelum ini, Mohd Puad turut mengumumkan sokongan kepada calon PH bagi DUN Rengit, Mohamad Yazid Bakri, menerusi hantaran yang dimuat naik di media sosial.
Pada 25 Jun lalu, beliau mengumumkan keluar daripada Umno berkuat kuasa serta-merta selepas lebih tiga dekad bersama parti itu.
Susulan pengumuman tersebut, Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mendakwa Mohd Puad pernah mengugut untuk meninggalkan parti serta mengkritik kepimpinan Umno secara terbuka sekiranya anaknya tidak dicalonkan di kerusi DUN Rengit.
Bagaimanapun, Mohd Puad menegaskan kehadirannya bersama PH kali ini didorong oleh keyakinan terhadap agenda pembangunan dan kepimpinan yang menurutnya mampu memberi manfaat kepada rakyat, khususnya komuniti Felda di Johor.
BACA JUGA “Jangan pilih kaki fitnah” – Anwar seru Johor pilih pemimpin berprinsip