Ahli Pas dikerah undi MCA, MIC: Murahnya agama demi berpolitik
Pendirian Pas yang mengarahkan ahli dan penyokongnya mengundi calon bukan Melayu dari MCA dan MIC pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mengundang sindiran tajam daripada pemerhati politik, Fathi Aris Omar.
Arahan itu dibuat sebagai sebahagian strategi Pas untuk menghalang Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, daripada membentuk kerajaan negeri Johor.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, arahan tersebut turut terpakai kepada calon bukan Melayu dari komponen Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).
Mengulas sinis pendirian itu, Fathi menyifatkan Pas seolah-olah kini menjadi sebuah parti yang sangat terbuka, pelbagai kaum dan penuh toleransi apabila sanggup mengarahkan penyokongnya mengundi calon MCA dan MIC demi kepentingan politik semasa.
“Tidak sangka Pas sebuah parti begitu terbuka, pelbagai kaum, syumul lagi tasamuh,” sindir pengamal media itu.
Lebih rela
Fathi turut membangkitkan ironi apabila Pas dilihat lebih rela mengarahkan penyokongnya memberi undi kepada calon MCA berbanding calon PH seperti Dr Maszlee Malik.
Walhal, ujarnya, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa berkenaan mempunyai latar sebagai tokoh agama dan pernah terlibat dalam gerakan Islam.
“Sampai kalau ada calon MCA dengan ustaz setaraf Dr Maszlee Malik, undi calon MCA dulu.
“Padahal Dr Maszlee itu ahli majlis fatwa dan ahli penting gerakan Islam. Tetapi demi penyatuan ummah, undi juga calon MCA,” katanya lagi dengan nada menyindir.
Menurut Fathi, pendirian Pas itu memperlihatkan percanggahan besar antara retorik agama yang sering dijual kepada penyokong akar umbi dengan tindakan politik parti berkenaan apabila berdepan kepentingan pilihan raya.
Beliau menyindir bahawa di kawasan kampung dan kuliah markas, penyokong sering disajikan dengan retorik keras berkaitan hukum bersekutu atau berwalikan orang bukan Islam.
Namun, dalam realiti politik, pendirian itu boleh berubah apabila ia menguntungkan Pas.
“Di ceruk kampung dan kuliah di markas, juallah retorika haroomm kita berwalikan orang kapir.
“Ya Allah, murahnya agama demi berpolitik,” kata Fathi lagi.
BACA JUGA Harga durian jatuh, PM janji bawa isu pekebun ke China bulan depan