Haim Hilman serang universiti awam, tapi fakta UM cerita sebaliknya
Oleh HARRIS NASRIL
“Empat orang pelajar UM, satu orang mesti pelajar asing! Di UPM, UKM, USM, UTM, lima pelajar tempatan, seorang mesti pelajar asing.”
“Tuan-tuan tak tahu kan? Kalau saya tak dedah, tak tahu kan? Sebab tak ramai pemimpin nak dedahkan perkara ini, tuan-tuan.”
Menyirap juga hati apabila mendengar kenyataan Dr. Haim Hilman Abdullah itu.
Apa sudah jadi dengan universiti awam kita?
Adakah universiti awam mahu memberi pendidikan kepada anak tempatan, atau kepada warga asing?
Kerana dakwaan ini sangat berat, saya tergerak hati untuk melakukan tabayun. Tambahan pula, beliau sendiri berkata, “Saya bukan nak bercakap soal politik., tetapk ucapan itu dibuat pula di atas pentas politik, dengan logo parti politik jelas terpampang di belakang beliau.
Baik. Kita ringkaskan dahulu dakwaan beliau. Panjang ya artikel ni.
Pertama, beliau mendakwa berlaku lambakan pelajar asing di IPTA, mencecah 56,565 orang. Katanya, 72% atau 41,097 orang daripada pelajar asing ini tertumpu di lima universiti awam terbaik negara, iaitu UM, UKM, UPM, USM dan UTM.
Kedua, beliau memetik UM sebagai contoh. Katanya, di UM, bagi setiap empat pelajar tempatan, akan ada seorang pelajar asing. Di UPM, UKM, USM dan UTM pula, dakwanya nisbahnya sekitar lima pelajar tempatan kepada seorang pelajar asing.
Ketiga, beliau turut membangkitkan isu pelajar dari Tanah Besar China. Beliau mempersoalkan mengapa tempat itu tidak diberikan kepada anak tempatan seperti anak Pak Mat, anak Ah Chong dan anak Muthusamy daripada keluarga miskin.
Mujur malam tadi, Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, tampil memberikan penjelasan melalui video balas di Facebook UM.
Kata beliau, beliau datang “bukan untuk berpolitik, tetapi untuk menerangkan fakta.”
Beliau juga mengingatkan bahawa “angka yang dibentangkan kepada rakyat mestilah disertakan dengan konteks.”
Konteksnya begini.
Sehingga 1 Julai 2026, Universiti Malaya mempunyai 46,361 orang pelajar.Daripada jumlah itu, 22,148 orang atau 48% ialah pelajar Ijazah Dasar.
Inilah kelompok paling penting apabila kita bercakap tentang peluang anak Malaysia masuk universiti.
Daripada 22,148 pelajar Ijazah Dasar itu, 80% ialah pelajar melalui UPU, 10% pelajar antarabangsa, dan 10% lagi melalui saluran terbuka (bayar yuran penuh) 8;1:1.
Maksudnya, di peringkat Ijazah Dasar, nisbah pelajar tempatan kepada pelajar antarabangsa sebenarnya sekitar 9:1.
Dalam bahasa mudah, kalau ada 10 pelajar Ijazah Dasar di UM, sembilan orang ialah pelajar tempatan ( 8 Dari UPU, seorang saluran terbuka) dan hanya seorang pelajar antarabangsa.
Jauh bezanya dengan dakwaan Hilman yang memberi gambaran seolah-olah dalam empat pelajar, seorang mesti pelajar asing.
Naib Canselor UM turut menegaskan bahawa “tidak pernah dalam sejarah Universiti Malaya, Universiti Malaya mengurangkan walaupun seorang dalam pengambilan melalui UPU. Malah setiap tahun, bilangan kemasukan melalui UPU meningkat.”
Jadi, dari mana datangnya angka pelajar asing yang nampak besar itu?
Di sinilah pentingnya konteks.
Hilman sebenarnya mencampurkan semua kategori pelajar sekali gus. Dalam bahasa mudah, dia lump sum semuanya.
Sedangkan jumlah pelajar antarabangsa yang besar itu banyak berada di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.
UM mempunyai 19,423 pelajar Ijazah Tinggi. Daripada jumlah itu, 9,850 orang ialah pelajar antarabangsa.
Ini bukan pelik. Ini juga bukan data yang disorokkan, kononnya baru didedahkan.
UM ialah universiti penyelidikan. Universiti seperti ini memang memerlukan pelajar Sarjana dan PhD untuk menggerakkan penyelidikan, penerbitan ilmiah, pembangunan teknologi baharu dan kerjasama akademik antarabangsa.
Jadi apabila pelajar Sarjana, PhD dan Ijazah Dasar dicampur sekali, kemudian disimpulkan seolah-olah semuanya mengambil tempat anak Malaysia di peringkat Ijazah Dasar, itu bukan gambaran lengkap.
Itu mengelirukan. Ini bukan perjuangan.
Ini pembelitan.
Salahkah universiti awam membuka ruang kepada pelajar antarabangsa?
Jawapannya, tidak salah sama sekali
Malah perkara ini pernah diraikan sendiri oleh Dr. Haim Hilman Abdullah ketika beliau menjadi Naib Canselor UUM pada tahun 2022.
Barangkali Dr. Haim Hilman terlupa. Bak kata Tun Mahathir, Melayu mudah lupa.
Ketika itu, UUM mencatat peningkatan kemasukan penuntut antarabangsa sebanyak 13.97% bagi sesi 2022/2023.
Apa kata Haim Hilman waktu itu?
Beliau menyifatkan peningkatan tersebut sebagai “perkembangan positif” dan bukti bahawa agenda pengantarabangsaan UUM sejak sedekad sebelumnya telah membuahkan hasil.
Malah beliau sendiri berkata peningkatan itu berlaku hasil usaha universiti mempromosikan program mereka di pasaran antarabangsa, selain agenda pengantarabangsaan yang berpandukan pelan strategik universiti.
Bukan itu sahaja. Beliau turut mengaitkan kemasukan pelajar antarabangsa dengan peningkatan ranking dunia UUM, daripada tidak pernah berada dalam carta sekitar tahun 2011 kepada kedudukan 481 terbaik dunia.
Jadi peliklah apabila pada tahun 2022, kemasukan pelajar antarabangsa disebut sebagai “perkembangan positif”, “pencapaian besar” dan hasil agenda pengantarabangsaan.
Tetapi apabila isu yang sama berlaku di universiti lain, naratifnya berubah menjadi seolah-olah pelajar asing sedang merampas tempat anak tempatan.
Jika di UUM dahulu pelajar antarabangsa dianggap bukti kejayaan pengantarabangsaan universiti, maka di UM, UKM, UPM, USM dan UTM pun perkara yang sama tidak wajar terus digambarkan sebagai ancaman tanpa konteks yang lengkap.
Universiti awam memang perlu membuka ruang kepada pelajar antarabangsa.
Bukan untuk menafikan hak anak tempatan, tetapi untuk mengukuhkan jaringan akademik, penyelidikan, reputasi global, kedudukan ranking universiti dan sumber pendapatan yang boleh membantu menampung kos operasi universiti awam.
Jadi, adakah UM menjadi lubuk bisnes untuk buat untung? Sehinggakan boleh bayar untuk masuk daftar?
UM bukan syarikat swasta. UM ialah universiti awam dan universiti penyelidikan. Duit yuran, termasuk yuran pelajar antarabangsa, digunakan untuk menampung kos operasi, penyelidikan, gaji, penyelenggaraan fasiliti, makmal, perpustakaan, kolej kediaman, teknologi, peralatan akademik dan perkhidmatan pelajar.
Naib Canselor UM sendiri menjelaskan bahawa “kesemua yuran pelajar ijazah tinggi juga dibayar penuh oleh pelajar antarabangsa.”
Ini berbeza dengan pelajar tempatan yang menikmati yuran lebih rendah kerana sebahagiannya disokong oleh subsidi kerajaan.
Maksudnya, pelajar antarabangsa bukan sahaja tidak mengambil subsidi pendidikan anak Malaysia, malah mereka membayar yuran penuh kepada universiti.
Dalam Belanjawan UM 2026 pula, Naib Canselor UM menyebut bahawa belanjawan itu dirangka bukan sekadar untuk menampung operasi, tetapi untuk membina daya tahan institusi, melindungi kesejahteraan warga dan menyediakan asas transformasi jangka panjang.
Beliau turut menyebut kos operasi universiti meningkat sekitar 6 hingga 8 peratus setahun, jauh mengatasi kadar inflasi. Sebab itu UM perlu memperkukuh kelestarian kewangan, mempelbagaikan sumber pendapatan, memperkemas tadbir urus dan bergerak ke arah autonomi penuh.
Maksudnya jelas.
UM bukan sedang “berniaga” untuk mengaut untung. UM sedang berdepan realiti kos operasi universiti penyelidikan yang semakin meningkat.
Sebab itu yuran pelajar antarabangsa, geran kerajaan, dana penyelidikan, kerjasama industri dan sumber pendapatan lain menjadi penting untuk memastikan universiti awam terus berfungsi dengan baik.
Malah universiti awam masih dibantu kerajaan melalui belanjawan negara.
Dalam Belanjawan 2025, Kementerian Pendidikan Tinggi menerima peruntukan RM18.097 bilion, merangkumi RM13.846 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM4.251 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Daripada jumlah itu, RM635 juta turut disediakan untuk menambah baik prasarana, menggantikan peralatan usang dan memperluas capaian internet di semua universiti awam.
Kalau universiti awam ini benar-benar menjadi “kilang untung”, kerajaan tidak perlu terus menyalurkan peruntukan berbilion ringgit setiap tahun untuk mengurus, membangun dan menyelenggara sistem pendidikan tinggi negara.
Maksudnya, yuran pelajar antarabangsa bukan bukti UM sedang berniaga untuk mengaut untung.
Ia salah satu sumber pendapatan untuk mengurangkan tekanan kewangan universiti awam, bukan menggantikan tanggungjawab kerajaan terhadap pendidikan tinggi negara.
Hakikat bahawa pelajar dari puluhan negara mahu menyambung pengajian di UM sepatutnya dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kualiti pendidikan tinggi negara, bukan terus dianggap sebagai ancaman kepada anak tempatan.
Sebab itu petikan paling penting daripada video Naib Canselor UM ialah:
“Janganlah kita mengambil secebis angka lalu dijadikan seluruh cerita. Kerana apabila konteks ditinggalkan, angka yang benar sekalipun mampu melahirkan kefahaman yang tersasar.”
Angka boleh jadi betul. Tetapi apabila dibentangkan tanpa konteks sebenar, ia boleh membawa kesimpulan yang salah dan mengelirukan orang ramai.
Sebagai seorang ahli politik yang mempunyai latar belakang akademik, malah pernah menjadi Naib Canselor UUM, serangan Dr. Haim Hilman terhadap universiti awam ini sangat mendukacitakan.
Kritikan memang perlu. Tetapi kritikan terhadap institusi ilmu mesti dibuat dengan data yang lengkap, bukan dengan naratif yang boleh menimbulkan keresahan ibu bapa dan pelajar.
Lebih-lebih lagi apabila perkara ini sudah menjadi subjek prosiding mahkamah. Sewajarnya semua pihak memberikan ruang kepada proses perundangan berjalan dan mengelakkan dakwaan yang sama terus diangkat di pentas politik.
Jika mahu kritik dasar, kritiklah dengan data.
Jika mahu tegur institusi, tegurlah dengan fakta dan konteks yang betul.
Kerana akhirnya, yang dipertaruhkan bukan sekadar nama seorang ahli politik atau seorang Naib Canselor. Yang dipertaruhkan ialah keyakinan rakyat, ibu bapa, pelajar, dan juga negara luar terhadap universiti awam negara. Apatah lagi untuk Universiti Malaya , universiti tertua kita, yang reputasinya dibina lebih seratus tahun.
Bak kata pepatah, marahkan nyamuk, kelambu pula dibakar.
BACA JUGA Ahli Pas dikerah undi MCA, MIC: Murahnya agama demi berpolitik