Komuniti peladang Pasir Gudang disantuni, Bang Mat tekad pastikan suara warga tani terus didengari
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu turun menyantuni komuniti peladang di Pasir Gudang dalam satu sesi minum pagi hari ini yang berlangsung mesra sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, golongan peladang merupakan antara tulang belakang penting negara kerana mereka saban hari mengusahakan tanah bagi memastikan bekalan makanan rakyat sentiasa mencukupi.
Menurut beliau, jasa para peladang tidak boleh dipandang kecil kerana hasil titik peluh mereka memainkan peranan besar dalam memperkukuh sekuriti makanan negara.

“Bang Mat ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peladang yang saban hari bertungkus-lumus mengusahakan tanah demi memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi.
“Jasa para peladang amat besar. Hasil titik peluh merekalah yang membantu memperkukuh sekuriti makanan negara dan memastikan rakyat terus menikmati bekalan makanan yang mencukupi,” katanya.
Turut serta dalam pertemuan dengan komuniti nelayan itu ialah calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Permas, Sharon Teo.

Mohamad berkata, Kerajaan MADANI sentiasa menghargai sumbangan warga peladang dan komited melaksanakan pelbagai usaha bagi menjaga kebajikan mereka.
Jelas beliau, tumpuan kerajaan bukan sekadar memastikan bekalan makanan negara terjamin, malah turut merangkumi usaha meningkatkan produktiviti, memperkukuh sektor pertanian serta membantu menambah pendapatan golongan peladang.
Beliau berkata, pendekatan itu penting supaya kehidupan para peladang terus terbela dan sektor agromakanan negara dapat bergerak lebih mampan.
Dalam suasana PRN Johor, kehadiran Mohamad bersama komuniti peladang dilihat membawa mesej jelas bahawa agenda membela rakyat, khususnya warga tani dan pengeluar makanan, akan terus menjadi keutamaan AMANAH serta Kerajaan MADANI.
“Terima kasih atas sambutan yang begitu mesra pagi ini. Insya-Allah, Bang Mat akan terus bersama para peladang dan memastikan suara mereka sentiasa didengari demi kemajuan sektor agromakanan negara,” kata Mohamad lagi.
BACA JUGA Heboh pelajar kena tikam di sekolah menengah