Nak kurang ‘jam’ di tambak? PH cadang tubuh jawatankuasa khas Johor-Singapura

Cadangan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Rentas Sempadan Johor-Singapura menjadi antara inisiatif yang diketengahkan Pakatan Harapan (PH) bagi menangani kesesakan kronik di pintu masuk negara, selain memperkukuh hubungan ekonomi rentas sempadan antara Johor dan Singapura.

Calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng berkata, jawatankuasa itu akan berperanan sebagai platform tetap untuk membincangkan isu berkaitan aliran trafik, sistem imigresen, pengangkutan awam serta pembangunan ekonomi yang melibatkan kedua-dua wilayah.

Menurut beliau, pendekatan lebih tersusun diperlukan memandangkan Johor Bahru dan Singapura saling bergantung dari segi perdagangan, pekerjaan serta pergerakan harian rakyat.

“Kita mahu memastikan isu kesesakan, ekonomi rentas sempadan dan hubungan Johor-Singapura dapat dibincangkan secara menyeluruh melalui satu mekanisme yang lebih berkesan,” katanya pada sidang media di Bukit Senyum, hari ini.

Turut hadir calon PH DUN Tiram, Nor Zulaila Abd Ghani; calon DUN Skudai, Kartiyaini Jeyapalan dan calon DUN Johor Jaya, Lee Wern Yiing.

Andrew berkata PH juga akan memperkukuh kerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi menyelaras pelaksanaan dasar yang melibatkan pintu masuk antarabangsa serta menyelesaikan isu yang memberi kesan kepada rakyat Johor.

Beliau berkata antara langkah yang dicadangkan ialah memperluaskan penggunaan sistem pelepasan imigresen automatik bagi mempercepatkan proses keluar masuk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Selain itu, katanya, sistem pengangkutan awam bandar raya perlu dihubungkan secara lebih berkesan dengan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

“Maklumat mengenai kesesakan lalu lintas dan gangguan sistem juga perlu disampaikan secara lebih pantas dan tepat supaya pengguna boleh merancang perjalanan mereka,” katanya.

Sementara itu, calon PH DUN Johor Jaya, Lee Wern Yiing berkata PH mahu meningkatkan mutu pengangkutan awam di Greater Johor Bahru dengan menambah kekerapan perkhidmatan bas serta memastikan jadual perjalanan lebih menepati masa.

Beliau berkata maklumat laluan bas juga perlu dipermudah supaya lebih mesra pengguna dan mampu meningkatkan keyakinan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Menurutnya, tumpuan turut diberikan kepada usaha memperkukuh kesalinghubungan antara bas, rel dan kenderaan persendirian bagi mewujudkan rangkaian pengangkutan yang lebih efisien.

“Pada masa sama, kemudahan pejalan kaki perlu dipertingkatkan melalui pembinaan laluan yang lebih selamat serta penambahan lintasan pejalan kaki bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, calon PH DUN Perling, Alan Tee Boon Tsong berkata isu banjir kilat di Greater Johor Bahru perlu diberi perhatian serius kerana terus menjejaskan ribuan penduduk setiap tahun.

Beliau berkata walaupun perubahan iklim menjadi antara faktor penyumbang, kelemahan pengurusan sistem saliran dan pembangunan yang tidak terkawal turut menyumbang kepada masalah tersebut.

“Saya ambil contoh banjir besar pada Mac 2025 di Perling yang menjejaskan lebih 1,000 keluarga. Kejadian seperti itu sepatutnya boleh dielakkan,” katanya.

Menurut Alan, sekiranya PH diberi mandat mentadbir Johor, pihaknya akan memantau tahap pematuhan pemaju terhadap syarat pembangunan, khususnya di Perling dan Iskandar Puteri.

Katanya, kerajaan negeri juga perlu memastikan kerja penyelenggaraan longkang dan sistem perparitan dilaksanakan mengikut jadual bagi mengurangkan risiko banjir.

Isu kesesakan di laluan Johor Bahru-Singapura terus menjadi antara perhatian utama dalam PRN Johor berikutan lebih 300,000 perjalanan rentas sempadan direkodkan setiap hari melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua.

PH menjadikan penambahbaikan mobiliti rentas sempadan, pengangkutan awam, pengurusan banjir serta penyelarasan pembangunan Greater Johor Bahru sebagai antara fokus utama manifesto “Johor Untuk Semua”, dengan matlamat meningkatkan kualiti hidup penduduk di kawasan bandar dan sempadan negeri.

BACA JUGA Zafrul: Jalex Lee faham cabaran industri, baik untuk anak muda Dun Pemanis