“Dah dapat yang baru, kita pula ditendang” – Muhyiddin sentuh hubungan Pas-Bersatu
Mantan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, ketika berkempen di DUN Bukit Pasir mencuri perhatian apabila perbualan mereka menyentuh hubungan Pas dengan Bersatu.
Dalam pertemuan singkat itu, Mahfuz secara berseloroh membangkitkan perkembangan politik semasa yang menyaksikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dilihat semakin cenderung mengadakan kerjasama dengan Umno.
Muhyiddin kemudian membalas dengan nada bergurau.
“Itulah… dah dapat yang baru, kita pula ditendang keluar,” katanya sambil ketawa.
Beliau turut mengulas bahawa walaupun Umno dilihat tidak menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan Pas, Abdul Hadi masih berhasrat meneruskan usaha ke arah kerjasama tersebut.
Pertemuan mesra antara kedua-dua tokoh politik itu berlaku ketika masing-masing berada di kawasan kempen PRN Johor di Bukit Pasir.
Perbualan berkenaan hadir ketika hubungan antara Pas dan Bersatu dalam PN terus menjadi perhatian susulan beberapa perkembangan mutakhir yang mencetuskan spekulasi mengenai hala tuju gabungan itu.
Kebelakangan ini, pemimpin Pas dilihat semakin terbuka membincangkan kemungkinan kerjasama politik dengan Umno.
Perkembangan tersebut turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati politik yang melihat ia berpotensi mengubah dinamika dalam Perikatan Nasional, terutama menjelang pilihan raya akan datang.
Setakat ini, Pas dan Bersatu masih merupakan komponen dalam Perikatan Nasional, namun perbezaan pendirian mengenai kerjasama dengan Umno terus menjadi antara isu yang diperhatikan dalam landskap politik semasa.
BACA JUGA Pakej besar FELDA, calon PH Tanjung Surat kata bukti kerajaan bela peneroka