Anwar kembali ke Johor hari ini, PH buru pecutan akhir PRN

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi akan turun ke Johor hari ini sebagai pecutan akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perdana Menteri turut mengajak semua rakyat Johor hadir bersama bagi memeriahkan program yang memberikan sokongan kepada calon serta jentera kempen pilihan raya PH itu.

“Saya mengajak seluruh warga Johor untuk turut serta. Semoga dipermudahkan, Insya-Allah,” kata Anwar menerusi hantaran di media sosial malam tadi.

Beliau turut menyertakan slogan ‘Johor Ke Depan, Undi HARAPAN’ dalam hantaran berkenaan sebagai seruan kepada pengundi menjelang hari pengundian, 11 Julai ini.

Dalam masa sama, Anwar turut berkongsi poster jadual Pengerusi PH di Johor yang bakal dihadirinya malam ini.

Berdasarkan jadual dikongsikan, beliau dijadual menghadiri Grand Finale HARAPAN bagi DUN Senggarang di Perkarangan Mediwell Pharmacy Banang Jaya pada jam 8.05 malam.

Jelajah beliau seterusnya di DUN Rengit di Dewan Orang Asli Rengit pada jam 8.50 malam.

Kemuncaknya, Perdana Menteri dijadual menghadiri Grand Finale HARAPAN Johor Selatan bagi DUN Puteri Wangsa di Padang Awam Pelangi Indah pada jam 10.35 malam.

Kempen PRN Johor ke-16 bermula pada 27 Jun lalu dan berakhir pada 11.59 malam esok.

BACA JUGA Terkini lebih 120 pemimpin Bersatu bahagian Pulai pula nyata sokongan kepada PH