74kg emas, berbilion rupiah dalam peti besi… Apa sebenarnya berlaku di Indonesia?
Polis Indonesia merampas 74 kilogram jongkong emas bersama wang tunai dalam pelbagai mata wang asing yang dianggarkan bernilai 476 bilion rupiah (kira-kira RM120 juta) dalam satu serbuan di sebuah rumah mewah di Sentul, Bogor.
Menurut laporan Kompas, serbuan itu merupakan sebahagian daripada operasi penggeledahan di 12 lokasi berkaitan siasatan rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan beberapa pegawai negara.
Ketua Korps Pemberantasan Tindak Pidana Korupsi (Kortastipidkor) Polis Republik Indonesia, Inspektor Jeneral Totok Suharyanto berkata, penyiasat menemui sebuah peti besi berkunci ketika menggeledah rumah berkenaan.
“Selepas peti besi itu dibuka, terdapat tujuh beg pakaian yang mengandungi 74 kilogram jongkong emas, AS$4,767,300, S$14,083,800 serta wang tunai 100 juta rupiah,” katanya.
Menurut beliau, nilai keseluruhan aset yang ditemui dianggarkan mencecah 476 bilion rupiah.
Selain emas dan wang tunai, polis turut merampas beberapa dokumen, telefon bimbit serta gambar keluarga yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pemilik rumah dan aset berkenaan.
Laporan Kompas menyebut, penggeledahan di Sentul merupakan sebahagian daripada operasi lebih besar yang dijalankan di 12 lokasi sekitar Jakarta dan kawasan sekitarnya bagi mengumpul bukti berkaitan beberapa siasatan rasuah serta pengubahan wang haram.
Setakat ini, pihak berkuasa Indonesia masih belum mendedahkan identiti pemilik rumah mahupun individu yang memiliki aset tersebut kerana siasatan masih diteruskan.
Media Indonesia melaporkan siasatan itu melibatkan beberapa kes berprofil tinggi, termasuk dakwaan rasuah membabitkan syarikat milik negara dan kes pengubahan wang haram, namun belum ada sebarang pertuduhan baharu diumumkan susulan rampasan berkenaan.
BACA JUGA Johor mengundi hari ini: 2.7 juta penentu, siapa bakal kuasai Nusajaya?