Ingat beli baju ‘branded’, rupanya tiruan? KPDN serbu premis di Shah Alam
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor melancarkan operasi penguatkuasaan terhadap beberapa premis menjual pakaian di sekitar Shah Alam susulan aduan berhubung penjualan barangan menggunakan cap dagang tiruan.
Dalam satu kenyataan, KPDN Selangor berkata pemeriksaan dijalankan oleh Seksyen Penguat Kuasa pada 9 Julai lalu bagi mengesan peniaga yang dipercayai menjual pakaian menggunakan cap dagang yang disyaki dipalsukan.
Menurut kementerian itu, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi melindungi hak pemilik harta intelek serta membanteras aktiviti penjualan barangan tiruan di pasaran.
“KPDN Selangor ingin memberi amaran keras kepada mana-mana peniaga agar sentiasa mematuhi undang-undang dan menghormati hak harta intelek,” menurut kenyataan itu.
KPDN turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara konsisten tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang berkaitan cap dagang.
Sehubungan itu, peniaga diingatkan supaya memastikan semua produk yang dijual adalah tulen dan tidak melanggar hak harta intelek bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.
Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat kepada KPDN sekiranya mengesan aktiviti penjualan barangan tiruan di pasaran bagi membantu usaha penguatkuasaan kementerian.
BACA JUGA 74kg emas, berbilion rupiah dalam peti besi… Apa sebenarnya berlaku di Indonesia?