Siapa bakal ganti Guterres? Tiga calon sudah ‘ditemu duga’ Majlis Keselamatan PBB

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengadakan dialog tidak rasmi dengan tiga calon yang bersaing untuk menjadi Setiausaha Agung PBB yang baharu, manakala seorang lagi calon dijadual menjalani sesi sama pada penghujung bulan ini.

Menurut laporan Voice of America (VOA), Presiden Majlis Keselamatan PBB bagi Julai, Zenon Ngay Mukongo berkata sesi itu melibatkan bekas Presiden Senegal, Macky Sall, Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, dan bekas Menteri Luar Guyana, Carolyn Rodrigues-Birkett.

Mukongo berkata, Macky Sall yang dicalonkan Burundi serta Grossi yang dicalonkan Argentina menghadiri dialog pada 7 Julai, manakala Rodrigues-Birkett yang dicalonkan Guyana menyertai sesi tersebut pada 9 Julai.

“Semasa dialog dengan setiap calon, mereka membentangkan pandangan mengenai cabaran dan peluang yang dihadapi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum mengadakan sesi pertukaran pandangan bersama anggota Majlis Keselamatan,” katanya seperti dipetik VOA.

Beliau berkata, setiap anggota Majlis Keselamatan mengemukakan pelbagai soalan bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu-isu global yang sedang dihadapi PBB serta pendekatan calon sekiranya dipilih menerajui badan dunia itu.

“Terdapat banyak soalan. Setiap anggota majlis mengemukakan satu atau dua soalan bagi mendapatkan penjelasan mengenai pelbagai cabaran yang sedang dihadapi PBB.

“Calon-calon turut menjelaskan bagaimana mereka merancang menangani cabaran tersebut sekiranya dipilih sebagai Setiausaha Agung,” katanya.

Mukongo bagaimanapun tidak memperincikan kandungan perbincangan, namun berkata sesi tersebut memberi gambaran kepada anggota Majlis Keselamatan mengenai visi dan keutamaan setiap calon.

Beliau turut mengesahkan seorang lagi calon, bekas Menteri Luar Ecuador, Maria Fernanda Espinosa Garces, dijadual menjalani dialog pada 27 Julai.

Menurutnya, Majlis Keselamatan akan meneruskan proses pemilihan mengikut Perkara 97 Piagam PBB sebelum mengemukakan seorang calon kepada Perhimpunan Agung PBB untuk dilantik secara rasmi.

Penyandang jawatan ketika ini, António Guterres, akan menamatkan penggal keduanya pada 31 Disember 2026, manakala Setiausaha Agung yang baharu dijadual memulakan tugas bagi penggal lima tahun bermula 1 Januari 2027.

BACA JUGA Ingat beli baju ‘branded’, rupanya tiruan? KPDN serbu premis di Shah Alam