Esok penentu nasib tunang Bella Astillah, bebas atau ke penjara
Nasib Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal ditentukan esok, sama ada kekal bebas atau berdepan hukuman penjara.
Tunang kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, itu berdepan empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Mahkamah Persekutuan di Putrajaya dijadual menyampaikan keputusan akhir berhubung rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq itu esok.
Pada 30 Jun lalu, keputusan kes itu ditangguhkan selepas seorang daripada tiga hakim panel terbabit mengambil cuti sakit.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan membabitkan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Mereka dijangka menyampaikan keputusan terhadap Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu pada jam 9 pagi.
Sepanjang prosiding rayuan kes tersebut, pasukan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan.
Sementara itu, Syed Saddiq, 34, yang juga bekas Ketua Armada Nasional diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Bersubahat
Pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun tahun lalu, melepas dan membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, sebatan dan denda.
Dalam masa sama, Syed Saddiq turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.
Syed Saddiq turut didakwa melakukan dua transaksi pengubahan wang haram dengan memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda lima kali ganda nilai terbabit, jika sabit kesalahan.
BACA JUGA PRN Johor: Isyarat jelas rakyat, suara akar umbi mesti didengari