Johor dedah realiti pengundi, banyak manfaat dasar Kerajaan Madani tidak difahami rakyat
Oleh DR AZRIE AZEH
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 melakar satu lagi episod penting dalam landskap politik Malaysia apabila Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan sangat besar dengan menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi lapan kerusi.
Keputusan ini bukan sekadar menggambarkan kejayaan sebuah gabungan politik, malah memberikan isyarat jelas bahawa corak pemikiran pengundi Malaysia semakin berubah.
Dalam demokrasi yang semakin matang, rakyat tidak lagi menilai parti politik semata-mata berdasarkan sejarah perjuangan, identiti kepartian atau retorik kempen.
Sebaliknya, mereka semakin mengutamakan prestasi pentadbiran, kestabilan politik serta keupayaan kerajaan menyelesaikan masalah yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian.
Johor mempunyai kedudukan yang cukup signifikan dalam politik negara sebagai negeri perindustrian utama, pintu masuk ekonomi ke Singapura serta antara penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Perubahan sentimen politik di Johor sering dianggap sebagai petunjuk awal terhadap arah aliran politik nasional.
Situasi ini bermaksud, kemenangan besar BN memperlihatkan pengukuhan semula pengaruh gabungan tersebut selepas berdepan pelbagai cabaran sejak Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
Kejayaan menguasai sebahagian besar kerusi DUN membuktikan bahawa kekuatan organisasi Umno, jaringan akar umbi dan hubungan berterusan dengan masyarakat masih menjadi kelebihan kompetitif yang sukar digugat.
Dalam teori organisasi politik, kekuatan sesebuah parti bukan hanya diukur melalui populariti pemimpin.
Malah, ia juga melibatkan keupayaan membina struktur akar umbi yang aktif, memahami isu setempat dan menawarkan penyelesaian yang dekat dengan keperluan rakyat.
Faktor inilah yang dilihat menjadi antara penyumbang utama kepada kejayaan BN di Johor.
Pertukaran kerajaan
Selain itu, faktor kestabilan politik terus menjadi pertimbangan utama pengundi selepas beberapa tahun negara melalui episod pertukaran kerajaan dan ketidaktentuan politik.
Sebahagian besar rakyat dilihat lebih cenderung memilih gabungan yang diyakini mampu menjamin kesinambungan pentadbiran.
Dalam konteks ekonomi semasa, kestabilan bukan lagi sekadar slogan politik, tetapi prasyarat kepada kemasukan pelaburan, penciptaan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi negeri.
Keputusan ini juga boleh dijelaskan melalui konsep politik berasaskan prestasi.
Dalam teori yang dikemukakan oleh ahli sains politik Morris Fiorina, pengundi lazimnya membuat penilaian terhadap kerajaan berdasarkan prestasi yang telah ditunjukkan, bukannya semata-mata janji masa hadapan.
Dalam konteks ini, keputusan pilihan raya merupakan bentuk penilaian demokratik terhadap keberkesanan pentadbiran yang sedang memerintah.
Namun demikian, kemenangan besar BN tidak boleh dianggap sebagai lesen politik tanpa had. Mandat besar sentiasa datang bersama tanggungjawab yang lebih besar.
Harapan tinggi
Rakyat kini meletakkan harapan tinggi agar kerajaan negeri mampu menterjemahkan kemenangan tersebut kepada pembangunan yang lebih inklusif, tadbir urus yang telus, peningkatan daya saing ekonomi dan kesejahteraan sosial yang dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.
Bagi PH pula, keputusan memenangi hanya lapan kerusi wajar dijadikan titik muhasabah yang mendalam.
Dalam demokrasi moden, kekalahan pilihan raya bukan semestinya bermaksud rakyat menolak keseluruhan perjuangan sesebuah parti, tetapi sering kali mencerminkan jurang antara harapan rakyat dengan prestasi yang mereka rasai.
PH perlu menerima hakikat bahawa landskap politik Malaysia telah berubah. Pengundi hari ini semakin pragmatik, kritikal dan berorientasikan hasil.
Mereka tidak lagi mudah diyakinkan melalui naratif perubahan semata-mata, sebaliknya menilai keberkesanan dasar melalui pengalaman hidup mereka sendiri.
Isu kos sara hidup, harga barang, peluang pekerjaan, pendapatan isi rumah, perumahan mampu milik dan kualiti perkhidmatan awam kekal menjadi ukuran utama rakyat.
Teori economic voting menjelaskan bahawa keadaan ekonomi yang dirasai secara langsung oleh isi rumah mempunyai pengaruh besar terhadap tingkah laku pengundi.
Dalam keadaan rakyat masih berdepan tekanan kos kehidupan, pencapaian dasar yang tidak diterjemahkan kepada manfaat yang rakyat perolehi sukar membina keyakinan politik.
Pendekatan komunikasi
Selain faktor ekonomi, PH juga perlu menilai semula pendekatan komunikasinya.
Banyak dasar Kerajaan MADANI mempunyai matlamat yang baik, namun manfaatnya tidak sentiasa difahami oleh masyarakat.
Dalam era media sosial, persepsi sering bergerak lebih pantas daripada penjelasan rasmi kerajaan.
Justeru, komunikasi politik tidak boleh bergantung kepada kenyataan media atau sidang akhbar semata-mata.
Sebaliknya, ia perlu disampaikan dalam bahasa yang lebih mudah difahami serta menunjukkan impak dasar terhadap kehidupan rakyat secara jelas.
PH juga perlu memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat akar umbi.
Politik moden tidak boleh lagi bersifat bermusim atau hanya aktif ketika pilihan raya.
Kajian tingkah laku pengundi menunjukkan bahawa kehadiran pemimpin secara konsisten dalam menyelesaikan masalah komuniti lebih berkesan dalam membina kepercayaan berbanding kempen yang bersifat sementara.
Hubungan yang berterusan dengan rakyat akan meningkatkan kredibiliti dan membina keyakinan terhadap parti.
Budaya muhasabah
Dalam masa yang sama, PH perlu mengamalkan budaya muhasabah yang lebih terbuka.
Analisis pasca pilihan raya hendaklah berasaskan data, penyelidikan lapangan dan kajian saintifik mengenai tingkah laku pengundi, bukannya andaian politik atau mencari pihak yang dipersalahkan.
Budaya membuat keputusan berasaskan bukti (evidence-based politics) akan membantu parti merangka strategi yang lebih berkesan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
Sebagai sebahagian daripada Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan, PH juga perlu memperkukuhkan kesepaduan dalam kalangan parti komponen.
Perbezaan pandangan dalam kerajaan gabungan adalah lumrah dalam sistem demokrasi, namun ia perlu diurus secara profesional agar tidak menimbulkan persepsi bahawa kerajaan gagal mencapai kesepakatan dalam melaksanakan dasar-dasar utama negara.
Walau bagaimanapun, kemenangan besar BN di Johor juga tidak boleh ditafsirkan sebagai jaminan mutlak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16.
Politik Malaysia bersifat dinamik dan sokongan rakyat sentiasa berubah mengikut prestasi semasa. Sejarah politik negara membuktikan bahawa mana-mana parti yang gagal memenuhi harapan rakyat akhirnya akan menerima penilaian semula daripada pengundi.
Kesimpulannya, PRN Johor 2026 memperlihatkan kematangan demokrasi Malaysia yang semakin berpaksikan prestasi, keberkesanan dasar dan kestabilan pentadbiran.
Kemenangan besar BN merupakan manifestasi keyakinan pengundi pada ketika ini, manakala keputusan PH menjadi peringatan bahawa kepercayaan rakyat perlu dipupuk melalui tindakan yang konsisten, dasar yang berkesan serta komunikasi yang lebih dekat dengan masyarakat.
Bagi Kerajaan MADANI dan PH, keputusan ini wajar dijadikan ruang muhasabah yang konstruktif, bukan sekadar penilaian politik jangka pendek.
Dalam demokrasi yang matang, kekalahan bukan penghujung perjuangan, tetapi peluang untuk memperbaiki kelemahan, memperkukuhkan organisasi dan membina semula keyakinan rakyat.
Akhirnya, dalam politik moden, mandat rakyat bukan sekadar memberikan kuasa untuk mentadbir, tetapi amanah besar yang perlu dibuktikan melalui integriti, kecekapan dan kemampuan menghasilkan dasar yang benar-benar meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Itulah ukuran sebenar legitimasi politik dalam sebuah demokrasi yang matang.
BACA JUGA Walau tidak terpilih, calon PH Maharani terus berkhidmat