Walau tidak terpilih, calon PH Maharani terus berkhidmat
Bekas calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Taqiuddin Cheman membuktikan khidmat kepada rakyat tidak terhenti meskipun beliau tidak terpilih dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.
Taqiuddin memaklumkan beliau meneruskan usaha membantu penduduk Parit Bakar Laut yang berdepan masalah jalan rosak yang sudah lama tidak mendapat perhatian sewajarnya.
Ketua Pemuda AMANAH Johor itu berkata, masalah berkenaan telah dibangkitkan penduduk ketika tempoh kempen selepas pelbagai permohonan dan aduan dibuat sebelum ini tidak membuahkan hasil.
“Hari itu masa kempen, penduduk Parit Bakar Laut mengadu nasib mereka tidak diambil perhatian. Jenuh dah memohon dan buat aduan.
“Saya cakap, menang kalah saya akan bantu usahakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sebagai langkah segera, beliau berkata, sebanyak dua lori besar pasir telah disumbangkan bagi membantu kerja membaik pulih jalan berkenaan.
Selain itu, pihaknya juga akan menyewa jentera pengorek jenis JCB untuk menimbus lubang serta kawasan yang sering digenangi air.
“Hari ini dua lori besar pasir kami sumbangkan untuk baik pulih jalan.
“Kami akan sewa JCB untuk timbus lubang-lubang dan lopak air,” maklumnya lagi.
Dalam masa sama, pemimpin muda Pakatan Harapan (PH) itu turut merayu pihak berkuasa supaya memberi perhatian serius terhadap nasib penduduk di kawasan tersebut.
Beliau berpendapat jalan berkenaan perlu diturap sepenuhnya bagi memastikan penduduk dapat menggunakannya dengan lebih selamat dan selesa.
“Dah wajib untuk tar dah jalan sini,” tegas Jawatankuasa Pimpinan Pemuda AMANAH Nasional itu lagi.
BACA JUGA Zahid pertegas jangan pegang sangat kata Pas