Pasca PRN Johor: Surat terbuka kepada PM Anwar dan kepimpinan Pakatan Harapan
Oleh DR SHAHNOR BASRI
Cukuplah mencari kambing hitam. Sudah tiba masanya mencari cermin.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim,
PRN Johor telah selesai. Rakyat telah membuat pilihan. Keputusannya bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi satu mesej yang sangat jelas. BN menang besar. PH pula gagal meyakinkan sebahagian besar pengundi Johor.
Dalam politik, kekalahan bukan penghujung perjuangan. Tetapi lebih berbahaya daripada kalah ialah gagal memahami mengapa kita kalah.
Sejarah membuktikan bahawa ramai parti politik akhirnya rebah bukan kerana lawan mereka terlalu kuat, tetapi kerana mereka terlalu sibuk memuji diri sendiri sehingga tidak lagi mampu mendengar suara akar umbi.
Sebagai Perdana Menteri dan Ketua Utama Pakatan Harapan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu memikul tanggungjawab politik ini.
Bukan untuk dipersalahkan seorang diri, tetapi sebagai pemimpin tertinggi yang perlu mengetuai proses muhasabah, memperkukuhkan saf serta merangka strategi baharu.
Kemenangan tidak pernah menjadi hak mutlak sesiapa. Begitu juga kekalahan tidak boleh dipikul oleh jentera negeri semata-mata.
Sudah tiba masanya seluruh kepimpinan PH berhenti mencari alasan.
Jangan salahkan Umno.
Jangan salahkan Pas.
Jangan salahkan MCA.
Jangan salahkan media.
Jangan salahkan pengundi.
Kerana rakyat tidak pernah berhutang undi kepada mana-mana parti.
Sebaliknya, tanyalah diri sendiri mengapa mesej PH gagal menembusi hati rakyat.
Lebih membimbangkan, selepas setiap kekalahan, akan muncul pula “pakar-pakar politik segera” yang mengelilingi kepimpinan tertinggi.
Mereka bercakap seolah-olah memahami denyut nadi rakyat sedangkan sebahagian besar mereka sudah lama tidak menjejak kaki ke warung, sawah, felda, kampung tradisi atau taman perumahan biasa.
Orang-orang lama yang membina PH sejak zaman penuh kesukaran pula semakin dipinggirkan. Inilah penyakit yang mula membarah.
Parti yang besar tidak boleh bergantung kepada kelompok “echo chamber” yang hanya tahu mengangguk setiap kali pemimpin bercakap.
Membuka pintu
Dato’ Seri Anwar perlu kembali membuka pintu kepada pejuang-pejuang lama daripada semua peringkat.
Mereka mungkin tidak bergaya di media sosial. Mereka mungkin tidak menjadi penganalisis televisyen. Tetapi merekalah yang memahami denyut nadi akar umbi.
Kadangkala kebenaran yang pahit lebih bernilai daripada pujian yang manis.
Kepimpinan DAP dan Amanah juga perlu bersikap lebih profesional.
Setiap kali kalah, janganlah reaksi pertama ialah mencari siapa yang hendak dipersalahkan.
Lebih malang jika ada yang masih memilih jalan mudah dengan terus mengecam Umno, Pas, MCA atau sesiapa sahaja, seolah-olah menyerang lawan sudah memadai untuk memenangi hati rakyat.
Tidak.
Politik bukan pertandingan siapa paling lantang menghina lawan.
Politik ialah pertandingan siapa paling meyakinkan rakyat.
Ada juga segelintir pemimpin yang seolah-olah menganggap pengundi yang tidak memilih mereka sebagai tidak cerdik.
Itulah kesilapan paling besar.
Dalam demokrasi, pengundi tidak pernah salah.
Jika mereka tidak memilih kita, maka tugas kita ialah memahami sebabnya, bukannya menghukum mereka dengan pelbagai label.
Ramai jurucakap
PH juga perlu mengurangkan budaya terlalu ramai jurucakap. Setiap hari muncul kenyataan yang berbeza. Seorang bercakap A. Seorang lagi bercakap B. Yang lain pula bercakap C.
Akhirnya, rakyat tidak lagi tahu siapakah sebenarnya membawa suara rasmi kerajaan dan gabungan.
Musuh politik pula hanya perlu duduk diam sambil mengutip setiap percanggahan untuk dijadikan peluru.
Strategi komunikasi perlu disusun semula.
Kurangkan suara.
Perkuatkan mesej.
Perbanyakkan kerja.
Kurangkan drama politik.
Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian serius ialah strategi Pas.
Suka atau tidak, Pas kini semakin cekap memainkan naratif bangsa dan agama sebagai senjata politik. Mereka memahami bahawa persepsi sering bergerak lebih pantas daripada fakta.
Jika PH terus bertindak balas secara defensif atau sekadar menafikan setiap dakwaan tanpa membina naratif yang lebih meyakinkan, maka medan persepsi akan terus dikuasai lawan.
Jawapannya bukan dengan menghina penyokong PAS.
Bukan juga dengan mengejek sentimen agama atau Melayu.
Sebaliknya, PH perlu membina naratif yang lebih meyakinkan bahawa perpaduan kaum, Islam yang membawa rahmat, keadilan sosial, tadbir urus yang baik dan kemakmuran ekonomi bukanlah nilai yang bertentangan dengan identiti Melayu atau agama.
Nilai-nilai itu perlu diterjemahkan melalui dasar yang konsisten, bahasa yang mudah difahami dan kehadiran yang berterusan di lapangan.
Jika Pas menggunakan emosi, PH mesti menang dengan keyakinan.
Jika Pas bermain persepsi, PH mesti menang dengan kepercayaan.
Jika Pas membawa retorik, PH mesti membawa penyelesaian.
Memberi ruang
Akhir sekali, Dato’ Seri Anwar.
Rakyat masih memberi ruang.
Ekonomi negara menunjukkan beberapa petunjuk yang positif. Pelaburan, kestabilan politik dan keyakinan antarabangsa memberi asas yang baik kepada kerajaan. Namun pencapaian pentadbiran di Putrajaya tidak akan secara automatik diterjemahkan menjadi kemenangan di peti undi.
Rakyat mengundi berdasarkan apa yang mereka rasa, lihat dan alami di kawasan masing-masing.
PRN Johor seharusnya menjadi loceng amaran, bukannya alasan untuk terus mempertahankan segala kelemahan.
Kekalahan tidak boleh dipadam dengan sidang media.
Ia tidak boleh diatasi dengan ucapan yang panjang.
Ia tidak boleh diperbaiki dengan menyalahkan orang lain.
Ia hanya boleh ditebus dengan keberanian melakukan pembaharuan.
Kerana dalam politik, rakyat tidak menghukum parti yang kalah.
Rakyat menghukum parti yang gagal belajar daripada kekalahan.
Semoga surat terbuka ini diterima sebagai teguran daripada seorang rakyat yang masih percaya bahawa sebuah kerajaan yang baik bukanlah kerajaan yang tidak pernah melakukan kesilapan, tetapi kerajaan yang cukup rendah hati untuk mengakuinya, memperbaikinya dan kembali mendapatkan kepercayaan rakyat.
Ikhlas daripada;
Dr. ShahNor Basri,
Yang pernah berada di Bukit Damansara Malam 20 September 1998.
BACA JUGA Johor dedah realiti pengundi, banyak manfaat dasar Kerajaan Madani tidak difahami rakyat