Zahid pertegas jangan pegang sangat kata Pas
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kata-kata pemimpin Pas tidak boleh dipegang berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bulan depan.
Presiden Umno berkata demikian kepada pemberita apabila ditanya mengenai rundingan kerusi sebagaimana didakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Kita jangan pegang sangat… sebab mereka (Pas) boleh berubah, sudah banyak kali dan banyak parti sudah kena dengan mereka ini,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata demikian pada Majlis Amanat Bersama Kontinjen TVET@KKDW ke WorldSkills, di ibu negara hari ini.
Menurutnya, Umno tiada sebarang perjanjian dengan Pas berkait PRN Negeri Sembilan kali ini, kecuali persefahaman sesama parti sahaja.
Zahid turut mengesahkan Umno tidak pernah memuktamadkan perbincangan dengan Pas, termasuk mengenai kerusi bakal ditandingi pada PRN berkenaan.
Sebelum ini, Hadi berkata, Pas bersedia menerima calon Menteri Besar Negeri Sembilan dari Umno jika kerjasama antara kedua-dua parti itu dapat dimuktamadkan.
Hadi dilapor berkata, rundingan antara Pas dan Umno berhubung pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Negeri Sembilan yang akan ditandingi sedang berlangsung dan disifatkan sebagai sangat positif.
Mengulas lanjut, Zahid menegaskan bahawa tidak semua perkara dinyatakan Pas perlu diterima atau dianggap sebagai kenyataan yang tepat.
“Memang kita tidak ada sebarang perjanjian dengan PAS. Jika ada perbincangan pun, sekadar understanding atau persefahaman dan kita tidak memuktamadkan sebarang perbincangan itu.
“Jika kita melihat perkembangan di Johor, apa yang dinyatakan mereka itu berbeza dengan realiti sebelum hari pengundian, terutama pada hari penamaan calon… apalagi hari pengundian.
“Jadi, janganlah positif sangat dengan mereka ini tetapi kita cuma boleh bersangka baik saja.
“Mereka ini boleh tukar goalpost (sasaran) bila-bila masa. Jadi, saya menganggap itu sebagai satu kenyataan politik saja,” tegas Zahid lagi.
BACA JUGA Johor bukan penamat, Negeri Sembilan panggil kita bangkit – Mahfuz