Anwar arah kerajaan ‘jaga dapur rakyat’

Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan ruji negara kekal stabil dan mencukupi ketika ini, dengan usaha berterusan dilakukan bagi memastikan harga makanan tidak membebankan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu menjadi antara fokus utama Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikannya petang semalam.

Menurutnya, kerajaan bukan sahaja mahu memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi, malah memberi perhatian kepada usaha mengawal harga serta melindungi kebajikan pesawah dan pengeluar makanan tempatan.

“Alhamdulillah, bekalan makanan ruji ketika ini stabil dan mencukupi.

“Keutamaan kerajaan adalah memastikan bekalan terus terjamin, harga makanan kekal terkawal serta kebajikan pesawah dan pengeluar makanan tempatan dipelihara,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat itu.

Tumpuan terhadap isu keterjaminan makanan dilihat selari dengan usaha kerajaan menangani tekanan kos sara hidup yang masih menjadi kebimbangan rakyat, terutama melibatkan harga barang keperluan harian.

Selain memastikan bekalan domestik mencukupi, kerajaan turut mahu mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan negara supaya tidak mudah terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global.

Dalam mesyuarat sama, MTEN turut membincangkan langkah memperkukuh sektor pembuatan yang kini berdepan tekanan susulan gangguan bekalan di peringkat antarabangsa.

Anwar berkata, antara industri yang diberi perhatian ialah industri plastik yang menjadi komponen penting kepada pelbagai sektor strategik termasuk pembungkusan makanan, elektrik dan elektronik (E&E), automotif serta peranti perubatan.

Beliau berkata, kerajaan mengambil serius maklum balas pemain industri berhubung peningkatan kos operasi dan cabaran semasa.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Kementerian Ekonomi mengadakan libat urus lanjut dengan pihak industri bagi mencari penyelesaian yang lebih menyeluruh.

“Saya telah mengarahkan MITI bersama Kementerian Ekonomi untuk melaksanakan libat urus lanjut dengan pihak industri bagi merumuskan penyelesaian yang dapat mengurangkan tekanan kos serta memastikan keseluruhan ekosistem pembuatan negara terus berdaya tahan dalam jangka panjang,” katanya.

Menurut Anwar, kerajaan berpandangan kestabilan bekalan makanan dan kekuatan sektor pembuatan saling berkait dalam memastikan ekonomi negara terus berkembang, sekali gus melindungi kuasa beli serta kesejahteraan rakyat.

BACA JUGA Johor bukan penamat, Negeri Sembilan panggil kita bangkit – Mahfuz