Teka-teki calon PH Negeri Sembilan bakal terjawab malam ini

Pakatan Harapan (PH) dijadual mengumumkan barisan calonnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dalam satu majlis khas malam ini.

Majlis Pengumuman Calon PH itu akan bermula pada jam 7.30 malam dan dijangka menjadi tumpuan penyokong serta masyarakat yang mahu mengetahui senarai individu dipertaruhkan gabungan berkenaan.

Program di Dataran Melang, Kuala Pilah itu bakal menyaksikan kehadiran Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Pengerusi PH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun serta Timbalan Pengerusi PH, Loke Siew Fook.

Pengumuman itu bakal menjawab teka-teki mengenai barisan calon PH, termasuk kemungkinan muka baharu dan penyandang yang akan diberi kepercayaan untuk membawa cabaran gabungan berkenaan dalam pilihan raya kali ini.

“Kehadiran anda adalah tanda sokongan kepada masa depan Negeri Sembilan yang lebih progresif, inklusif dan sejahtera,” menurut hebahan di Facebook Pakatan Harapan hari ini.

PRN Negeri Sembilan ke-16 yang mempertaruhkan semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditetapkan pada 1 Ogos depan, dengan hari penamaan calon ditetapkan 18 Julai ini.

Pada PRN Ogos 2023, PH menguasai 17 kerusi, BN (14) manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh lima kerusi.

Daripada 17 kerusi dimenangi PH itu, 11 kerusi disumbangkan oleh DAP, lima kerusi oleh PKR dan satu kerusi oleh Parti Amanah Negara (AMANAH).

BACA JUGA PARLIMEN |Jaminan PMX : PKS dan usahawan Bumiputera takkan sekadar jadi penonton