Dari bayi hingga warga emas, PH Negeri Sembilan pulangkan hasil negeri kepada rakyat

Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) sejak 2018 telah melaksanakan pelbagai inisiatif menyeluruh yang dinikmati segenap lapisan rakyat.

Ia merangkumi bantuan tunai, perumahan, pendidikan, dan sokongan usahawan.

Terdapat 26 program dirancang supaya anak-anak Negeri Sembilan mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, tanpa mengira latar belakang atau status sosioekonomi.

Tahun ini sahaja, sebanyak RM28.81 juta diperuntukkan merangkumi 16 inisiatif sedia ada dan baharu.

Sebanyak RM750,000 secara “one-off” pula disalurkan bagi penjagaan dan penyelenggaraan infrastruktur awam/FELDA seperti jalan, dewan masyarakat, surau, kemudahan air, dan sistem perparitan.

Kerajaan Negeri Sembilan juga menyediakan peruntukan berjumlah RM12 juta untuk inisiatif PESONA@N9 yang menjadi pemangkin utama kepada kempen Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

Selain itu, RM1.53 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan inisiatif kelestarian alam sekitar tahun ini yang merangkumi pembangunan hutan, sambutan Hari Cuci Malaysia sempena “World Cleanup Day” serta Hari Kelestarian Alam Negeri Sembilan 2026.

Pelaksanaan 194 projek bagi tahun ini, merangkumi 160 projek baharu dan 34 projek sambungan juga diteruskan melangkah ke fasa pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Antara pencapaian paling signifikan termasuk kejayaan menjadikan Negeri Sembilan antara negeri terawal mencapai status sifar miskin tegar.

Berikut adalah antara senarai inisiatif utama yang dinikmati rakyat Negeri Sembilan sejak PH menerajui kerajaan:

Ekonomi dan Bantuan Rakyat

1) Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS): Geran bantuan tunai sebanyak RM3,000 diberikan kepada peniaga dan penjaja kecil untuk mengembangkan perniagaan.

2) Bantuan Belia Berkahwin: Hadiah tunai RM500 diberikan kepada anak negeri yang baru mendirikan rumah tangga (berumur 18 hingga 35 tahun) dengan pendapatan isi rumah di bawah RM4,000.

3) Inisiatif Bantuan Kanak-kanak & Ibu: Bantuan tunai RM100 dimasukkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi setiap bayi yang baru lahir di Negeri Sembilan.

4) Bantuan Keceriaan Warga Emas: Bantuan berjumlah RM200 untuk golongan warga emas.

5) Bantuan Kanser Negeri Sembilan: Bantuan kewangan khas bagi pesakit kanser yang sedang mendapatkan rawatan berjumlah RM1,000.

Pendidikan dan Kebajikan Mahasiswa

6) Bantuan Sara Hidup Mahasiswa: Bantuan kewangan untuk pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) untuk peringkat ijazah dalam bidang STEM berjumlah RM1,500, diploma STEM (RM1,000), diploma (RM750) dan RM500 bagi peringkat sijil, matrikuliasi dan asasi.

7) Bantuan Khas Persekolahan: Bantuan yuran dan peralatan persekolahan yang disalurkan melalui Yayasan Negeri Sembilan.

Pemilikan Rumah dan Perumahan

8) Program Rumah Harapan Rakyat: Skim pembinaan rumah mampu milik dengan harga serendah RM85,000 dan pembiayaan tanpa faedah untuk golongan berpendapatan rendah. Pemilik hanya perlu membayar serendah RM270 sebulan.

Pembangunan Ekonomi dan Perkhidmatan Awam

9) Lebihan Hasil Negeri: Merekodkan peningkatan kutipan hasil negeri secara konsisten, membolehkan dana disalurkan semula untuk program kebajikan rakyat.

10) Bantuan Penjawat Awam: Pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) yang ditambah baik saban tahun kepada penjawat awam

BACA JUGA MCA bantah larangan arak: Port Dickson sebenarnya dilimpahi hampir 11 juta pengunjung