MCA bantah larangan arak: Port Dickson sebenarnya dilimpahi hampir 11 juta pengunjung

Dakwaan Timbalan Setiausaha MCA Pusat, Ivone Low yang juga Ketua Beliawanis MCA bersama rakan-rakan partinya bahawa larangan minuman keras di kawasan pantai Port Dickson menyebabkan kemerosotan pelancong bercanggah dengan limpahan kehadiran pengunjung yang direkodkan.

Statistik menunjukkan Port Dickson terus menerima jumlah pengunjung yang semakin bertambah selepas pelaksanaan larangan yang bermula pada Julai 2025 itu.

Timbalan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan berkata, tindakan mengaitkan dasar Kerajaan Negeri Sembilan itu dengan kononnya kemerosotan sektor pelancongan merupakan satu naratif yang tidak disokong data.

Menurutnya, statistik Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menunjukkan jumlah kehadiran pengunjung bukan sahaja kekal tinggi, malah melonjak dengan ketara selepas Ogos 2025.

“Faktanya, jumlah pelancong Port Dickson semakin bertambah sejak Ogos 2025,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Bagi tempoh lima bulan dari Ogos hingga Disember 2025, direkodkan sebanyak 6,077,441 kehadiran pengunjung di kawasan peranginan yang menghadap Selat Melaka itu.

Tiada kemerosotan

Momentum itu diteruskan pada 2026 apabila Port Dickson merekodkan 1,268,743 kehadiran pada Januari, diikuti 1,159,364 pada Februari, 1,282,727 pada Mac dan 1,212,100 pada April.

Jumlah keseluruhan bagi empat bulan pertama 2026 mencecah 4,922,934 kehadiran, menjadikan jumlah kumulatif dari Ogos 2025 hingga April 2026 sebanyak 10,999,375.

Purata kehadiran bulanan bagi Januari hingga April 2026 juga mencapai kira-kira 1.23 juta, sedikit lebih tinggi berbanding purata 1.22 juta sebulan bagi tempoh Ogos hingga Disember 2025.

Walaupun angka bulanan menunjukkan turun naik, statistik berkenaan tidak memperlihatkan sebarang pola kemerosotan berterusan seperti yang didakwa.

Malah, jumlah pada April 2026 adalah kira-kira 27 peratus lebih tinggi berbanding rekod pada Ogos 2025.

Data MPPD itu dikumpulkan melalui empat pintu masuk utama, iaitu susur keluar Lebuhraya Seremban-Port Dickson–Lukut, Persimpangan Sua Betong, sempadan Port Dickson–Sepang dan Jambatan Tanjung Agas.

Terdahulu, tular rakaman perbincangan secara langsung membabitkan Timbalan Setiausaha MCA Pusat, Ivone Low yang juga Ketua Beliawanis MCA bersama rakan-rakan partinya.

Mereka membantah larangan Kerajaan Negeri Sembilan diterajui Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun terhadap aktiviti minum minuman keras di taman rekreasi dan pantai awam berkuat kuasa Julai tahun lalu.

BACA JUGA PH pertaruh Aminuddin di DUN Linggi, Anthony Loke DUN Chenna