Dilantik Pengerusi Felda baharu, Ahmad Badri miliki lebih 30 tahun pengalaman

Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dilantik sebagai Pengerusi Felda yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Tokoh korporat itu menggantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang tempoh perkhidmatanya berakhir pada 30 Jun lalu.

Felda menerusi kenyataan hari ini berkata, pelantikan Ahmad Badri mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kewibawaan, integriti serta pengalaman luas beliau dalam menerajui organisasi strategik dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Menurut Felda, kepimpinan Ahmad Badri diyakini mampu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecemerlangan pengurusan serta meneruskan agenda transformasi Felda selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang mampan dan inklusif.

Ahmad Badri mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam sektor awam dan korporat selepas memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam di Kementerian Kewangan pada 1989.

Beliau pernah memegang pelbagai jawatan strategik sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia dari 2018 hingga 2020.

Agenda transformasi

Bekas Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu juga pernah menganggotai lembaga pengarah beberapa institusi utama negara termasuk Bank Negara (BNM), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pada masa ini, Ahmad Badri merupakan Pengerusi RHB Bank Berhad dan Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), selain Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada University of Hull, United Kingdom, serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Felda berkata, pihaknya yakin kepimpinan Ahmad Badri akan memperkukuh agenda transformasi Kumpulan Felda, meningkatkan kemampanan ekonomi serta mencipta nilai lebih besar kepada lebih tiga juta warga peneroka.

Pelantikan itu diharapkan dapat membantu Felda mencapai kejayaan baharu dalam memastikan kesejahteraan warga peneroka dan kemakmuran generasi akan datang terus terpelihara.

Untuk rekod, terdapat 317 tanah rancangan Felda yang menempatkan lebih 112,000 keluarga peneroka di seluruh negara.

Felda paling awal adalah Felda Lurah Bilut di Bentong, Pahang yang dibuka pada 1958 manakala Felda Sahabat 2 di Lahad Datu, Sabah merupakan rancangan terakhir yang dibuka pada 1990 sekaligus menghentikan pengambilan peneroka baharu.

Kumpulan Felda merekodkan keuntungan selepas cukai RM56.1 juta berdasarkan penyata kewangan terakhir yang dibentangkan kepada umum.

BACA JUGA Tinggalkan ‘kubu’ 18 tahun, Tok Min pertaruh diri demi rakyat di Linggi