Tinggalkan ‘kubu’ 18 tahun, Tok Min pertaruh diri demi rakyat di Linggi

Kesanggupan Datuk Seri Aminuddin Harun meninggalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat yang diwakilinya sejak 2008 untuk bertanding di DUN Linggi disifatkan sebagai satu pengorbanan besar serta keberanian luar biasa demi meneruskan perjuangan untuk rakyat.

Penganalisis politik, Mohd Sayuti Omar berkata, keputusan Menteri Besar Negeri Sembilan itu bukan sesuatu yang mudah kerana Sikamat sudah menjadi kawasan yang cukup sebati dengan perjalanan politik dan kepimpinannya.

Sayuti berpendapat Aminuddin yang mesra disapa dengan panggilan Tok Min telah berkhidmat di Sikamat selama empat penggal, merangkumi tempoh kira-kira 18 tahun.

“Kesanggupan Datuk Seri Aminuddin meninggalkan Sikamat yang diwakili sejak tahun 2008 dan berpindah ke DUN Linggi merupakan satu pengorbanan serta keberanian luar biasa demi sebuah perjuangan.

“Beliau meninggalkan kawasan yang sudah mendarah daging dengannya. Di situlah beliau mencipta nama, membentuk diri sebagai wakil rakyat dan seterusnya muncul sebagai pemimpin negeri,” katanya.

Menurutnya, keberanian Tok Min yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri menerima cabaran di kawasan baharu memperlihatkan jiwa seorang pejuang yang sanggup diletakkan di mana-mana demi kepentingan parti serta rakyat.

Katanya, bagi seorang pejuang sejati, lokasi pertandingan bukanlah persoalan utama selagi perjuangan itu berlandaskan keyakinan, tanggungjawab dan keikhlasan.

“Letaklah di mana pun, beliau tidak akan menolak. Bagi pejuang sejati, semua kawasan adalah sama asalkan ada keyakinan dan ketakwaan kepada Allah,” ujarnya.

Sekali lagi

Untuk rekod, Aminuddin telah berkhidmat sebagai wakil rakyat DUN Sikamat sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.

Pada PRU12, Tok Min menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 499 undi apabila memperoleh 6,036 undi.

Sekali lagi pada PRU13, beliau mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 510 undi selepas memperoleh 8,584 undi.

Prestasi beliau terus meningkat pada PRU14 apabila mencatat kemenangan lebih selesa dengan majoriti 3,413 undi dalam saingan tiga penjuru menentang calon BN dan Pas selepas meraih 9,832 undi.

Seterusnya, Tok Min berjaya mempertahankan DUN Sikamat pada PRN 2023 dengan majoriti 2,662 undi selepas meraih 12,730 undi, mengatasi calon Perikatan Nasional (PN) dan dua calon Bebas.

Sementara itu, Setiausaha Politik Aminuddin iaitu Nor Azman Mohamad diumum menggantikan tempat Naib Presiden PKR berkenaan di DUN Sikamat.

Mengulas lanjut, Sayuti mendoakan agar pengorbanan dan jasa Aminuddin terus dihargai rakyat Negeri Sembilan.

“Selamat maju jaya kepada Tok Min. Semoga jasa dan budinya terus dikenang rakyat Negeri Sembilan. Kekal Harapan,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Dari bayi hingga warga emas, PH Negeri Sembilan pulangkan hasil negeri kepada rakyat