Jika sah rakyat Israel berada di Malaysia, kerajaan akan usir serta-merta
Mana-mana rakyat Israel yang didapati berada di Malaysia akan diusir serta-merta kerana negara ini tidak mengiktiraf Israel, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu itu, sambil memaklumkan semua agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat warga Israel yang menggunakan pasport atau kewarganegaraan kedua untuk menyertai komuniti Network School di Forest City, Johor.
“Saya percaya Menteri Pendidikan Tinggi akan memberi jawapan berhubung perkara itu.
“Kita siasat, kita tidak izinkan. Kalau ada, tindakan mesti diambil.
“Kalau ada rakyat Israel, kerana kita tidak iktiraf, mereka akan diusir segera. Tetapi sekarang semua agensi sedang menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Khas Murid-Murid Wilayah Persekutuan A Celebration of Life and Peace anjuran ERM Foundation di Kuala Lumpur, hari ini.
Isu berkenaan tercetus selepas timbul dakwaan bahawa komuniti Network School di Forest City disertai individu yang mempunyai kaitan dengan Israel, termasuk mereka yang didakwa memasuki Malaysia menggunakan pasport atau kewarganegaraan kedua.
Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan siasatan menyeluruh telah dimulakan bagi meneliti operasi komuniti berkenaan, termasuk mengesahkan identiti dan status kewarganegaraan individu yang didakwa terbabit.
Siasatan itu dibuat selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menyuarakan kebimbangan mengenai dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai komuniti tersebut menggunakan kewarganegaraan kedua.
Network School ialah komuniti kediaman dan ruang kerja bersama yang diasaskan pada 2024 oleh pelabur teknologi Balaji Srinivasan. Komuniti itu menyasarkan golongan techno-optimist dengan yuran melebihi RM6,000 sebulan yang merangkumi penginapan, makanan serta kemudahan seperti gimnasium.
Kontroversi mengenai projek itu mula mendapat perhatian selepas pengguna media sosial mempersoalkan kemasukan usahawan asing ke Network School, termasuk dakwaan bahawa terdapat rakyat Israel yang menetap di Forest City.
Anwar menegaskan tindakan hanya akan diambil selepas siasatan selesai, namun pendirian Malaysia terhadap Israel kekal tidak berubah dan mana-mana rakyat Israel yang dikesan berada di negara ini akan diusir mengikut undang-undang.
BACA JUGA ‘Nak letak jawatan apa? Saya tak ada jawatan apa-apa pun dalam kerajaan negeri’ – Adly