PRN Negeri Sembilan bukan sekadar pilih kerajaan, tapi penamat krisis perlembagaan?
Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan sekadar menjadi medan memilih kerajaan baharu, malah berpotensi menamatkan pertikaian mengenai keabsahan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan legitimasi institusi negeri yang berlarutan sebelum ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata penyertaan semua parti politik dalam PRN itu membawa implikasi undang-undang kerana ia menunjukkan penerimaan terhadap keseluruhan proses pilihan raya yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurutnya, apabila parti-parti seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mengemukakan calon, membayar deposit serta menandatangani dokumen pencalonan pada hari penamaan calon Sabtu ini, tindakan itu sendiri menjadi pengiktirafan terhadap PRN berkenaan.
“Dari segi undang-undang, semua parti yang bertanding telah mengiktiraf sepenuhnya pilihan raya ini melalui tindakan mereka sendiri (by conduct),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hassan berkata, pengiktirafan terhadap PRN itu secara tidak langsung turut mengesahkan keabsahan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 4 Jun lalu.
Beliau menjelaskan Aminuddin merupakan individu yang menasihati Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, supaya membubarkan DUN mengikut peruntukan Perlembagaan Negeri.
“Apabila semua parti menyertai pilihan raya yang diadakan hasil daripada pembubaran itu, mereka sebenarnya menerima bahawa proses tersebut adalah sah di sisi undang-undang,” katanya.
Menurut Hassan, penyertaan dalam PRN itu juga membawa maksud semua parti mengiktiraf kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
Katanya, baginda bertindak mengikut bidang kuasa apabila menerima nasihat Menteri Besar untuk membubarkan DUN dan memperkenankan pilihan raya diadakan.
Sehubungan itu, Hassan berpandangan PRN Negeri Sembilan berpotensi menjadi titik penamat kepada kemelut politik dan perlembagaan yang sebelum ini turut mengheret institusi Adat Minangkabau di negeri berkenaan.
“Segala pergolakan politik, perebutan kuasa dan pertikaian yang mengheret institusi Adat Minangkabau di Negeri Sembilan akan terlerai daripada segala kekusutan.
“Pergolakan yang berlaku di ruang istana, di koridor kuasa dan di Dewan Negeri akhirnya akan diselesaikan di peti undi. Begitulah cantiknya demokrasi,” katanya.
Hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 18 Julai, manakala hari pengundian ialah pada 1 Ogos ini.
Bagaimanapun, kenyataan Hassan itu merupakan pandangannya dari sudut undang-undang dan politik mengenai implikasi penyertaan parti-parti dalam PRN, dan bukannya satu ketetapan atau tafsiran kehakiman terhadap isu perlembagaan yang berbangkit.
BACA JUGA Walau minyak dunia bergolak, kerajaan MADANI tetap pertahan subsidi rakyat